Kalau sebut pasal Jepun, ramai rakyat Malaysia terus terbayang Tokyo, Osaka atau Kyoto. Tapi sebenarnya, bahagian utara Jepun iaitu Hokkaido menyimpan banyak lokasi menarik yang belum terlalu sesak dengan pelancong.
Antara bandar paling popular di sini ialah Sapporo, yang terkenal dengan suasana yang dihiasi dengan putih salji ketika musim sejuk, makanan sedap, dan pemandangan alam semula jadi yang cantik.
Sapporo bukan sekadar destinasi musim sejuk. Sepanjang tahun, bandar ini menawarkan pelbagai tempat menarik yang sesuai untuk semua jenis pelancong, sama ada anda suka aktiviti santai, budaya tempatan, atau nak cari spot Instagram yang unik.
Jadi kalau anda sedang merancang trip ke Hokkaido, ini antara senarai tempat menarik di Sapporo yang wajib masuk dalam itinerary anda.
Apa Yang Menarik Sangat Tentang Sapporo?
Sapporo ialah bandar terbesar di Hokkaido dan antara yang paling mudah diterokai. Jalan raya tersusun, sistem pengangkutan efisien, dan suasana lebih tenang berbanding bandar besar lain di Jepun.
Antara sebab kenapa ramai suka datang sini:
- Cuaca sejuk dan salji tebal waktu musim winter
- Makanan terkenal seperti ramen dan seafood segar
- Festival unik sepanjang tahun
- Pemandangan gunung dan taman yang cantik
- Kurang sesak berbanding Tokyo atau Osaka
BACA JUGA :
- 16 Tempat Menarik Di Tokyo Anda Wajib Datang
- Tempat-Tempat Menarik Di Osaka Anda Boleh Masukkan Dalam Itinerari
Pendek kata, Sapporo sesuai untuk trip santai sambil menikmati vibe Jepun yang sedikit berbeza. Jadi nak tahu apa ada dan tempat menarik di Sapporo, boleh tengok senarai dibawah
Tempat Menarik Di Sapporo, Hokkaido Yang Boleh Anda Lawati
Berikut merupakan senarai 10 tempat menarik di Sapporo yang anda wajib datang bila bercuti di pulau Hokkaido. Merupakan bandar utama di Selatan Jepun.
1. Odori Park

Odori Park merupakan taman yang terletak di tengah-tengah bandar dan menjadi pusat aktiviti utama di Sapporo. Taman ini membentang sepanjang kira-kira 1.5 kilometer dan memisahkan kawasan bandar kepada bahagian utara dan selatan.
Apa yang menarik tentang Odori Park adalah suasananya yang sentiasa hidup sepanjang tahun. Jika andA datang pada musim sejuk, taman ini akan menjadi lokasi utama Sapporo Snow Festival (Yuki Matsuri), di mana pelbagai arca salji dan ais berskala besar dipamerkan. Suasana pada waktu malam pula menjadi lebih meriah dengan pencahayaan yang cantik.
Pada musim panas dan bunga, taman ini berubah menjadi kawasan hijau yang penuh dengan bunga berwarna-warni. Ramai pelancong dan penduduk tempatan datang ke sini untuk bersantai, berkelah, atau sekadar berjalan sambil menikmati udara segar. Odori Park juga menjadi tempat terbaik untuk mengambil gambar dengan latar belakang bandar Sapporo yang moden.
2. Sapporo TV Tower

Terletak di hujung Odori Park, Sapporo TV Tower merupakan salah satu mercu tanda paling dikenali di bandar ini. Walaupun tidak setinggi menara di bandar lain, pengalaman yang ditawarkan tetap berbaloi.
Pelawat boleh naik ke observation deck untuk menikmati pemandangan panorama bandar Sapporo dari atas. Pada waktu siang, anda boleh melihat susunan bandar yang terancang dengan kemas, manakala pada waktu malam pula, lampu-lampu bandar mencipta suasana yang sangat romantik.
Selain itu, terdapat juga kedai cenderamata di dalam menara ini, sesuai untuk anda yang ingin membeli kenangan dari Sapporo.
3. Susukino

Kalau anda jenis suka explore suasana malam, Susukino adalah tempat yang wajib dikunjungi. Kawasan ini terkenal sebagai pusat hiburan utama di Sapporo dan dipenuhi dengan lampu neon yang sangat meriah.
Di sinilah terletaknya Ramen Alley, sebuah lorong kecil yang menempatkan kedai ramen tradisional. Ramen Hokkaido terkenal dengan kuah miso yang pekat dan rasa yang lebih kaya, sangat sesuai untuk dinikmati dalam cuaca sejuk.
Selain ramen, terdapat juga pelbagai restoran seafood, izakaya, dan kafe yang menawarkan pengalaman makan yang unik. Tapi sayangkan kawasan ini tidak terdapat restoren halal yang mesra muslim.
Berjalan di Susukino pada waktu malam memberikan vibe yang berbeza berbanding siang hari. Ia seolah-olah tidak pernah tidur dan sentiasa hidup dengan aktiviti.
4. The Red Brick Building (Former Hokkaido Government Main Office)

Former Hokkaido Government Office atau lebih dikenali sebagai “Akarenga” (bangunan bata merah) merupakan salah satu bangunan paling ikonik di Sapporo. Struktur ini dibina pada tahun 1888 dan menjadi simbol penting kepada sejarah pembangunan Hokkaido.
Bangunan ini mempunyai seni bina gaya Barat yang sangat klasik, dengan dinding bata merah yang menonjol dan reka bentuk yang cukup berbeza daripada bangunan moden di sekelilingnya.
Apabila musim luruh tiba, kawasan sekeliling bangunan ini akan dipenuhi dengan daun berwarna merah dan kuning, menjadikannya lokasi fotografi yang sangat cantik. Bila waktu musim salji, tempat ini akan diselaputih dengan warna putih salji. Maka akan muncul warna merah bangunan dan salji putih. Sangat cantik
Di bahagian dalam bangunan, pelawat boleh meneroka muzium kecil yang memaparkan sejarah awal Hokkaido, termasuk proses pembangunan dan kehidupan masyarakat pada zaman dahulu. Informasi yang disediakan sangat menarik dan sesuai untuk mereka yang ingin memahami latar belakang kawasan ini dengan lebih mendalam.
Selain itu, kawasan taman di sekeliling bangunan juga sangat sesuai untuk berjalan santai. Suasana yang tenang dengan pemandangan bangunan klasik ini memberikan pengalaman yang berbeza berbanding lokasi pelancongan lain di Sapporo. Ia adalah tempat yang sesuai untuk berehat seketika sambil menikmati keindahan seni bina dan sejarah.
5. Mount Moiwa

Mount Moiwa adalah lokasi terbaik untuk menikmati pemandangan bandar Sapporo dari tempat tinggi. Untuk ke puncak, pelawat perlu menaiki ropeway yang memberikan pengalaman yang sangat menarik, terutama ketika musim sejuk.
Apa yang menjadikan Mount Moiwa istimewa adalah pemandangan malamnya. Lampu-lampu bandar yang berkelipan menghasilkan panorama yang sangat memukau dan sering dianggap antara yang tercantik di Jepun.
Tempat ini juga terkenal sebagai lokasi romantik, jadi tidak hairanlah ramai pasangan datang ke sini untuk menikmati suasana bersama. Harga tiket ropeway adalah 2,100 Yen atau sekitar RM53 untuk tiket pergi dan balik. Boleh beli secara online di Klook.
6. Shiroi Koibito Park

Shiroi Koibito Park merupakan taman tema yang berkonsepkan coklat dan sangat sesuai untuk semua peringkat umur. Tempat ini terkenal dengan produk Shiroi Koibito yang menjadi antara souvenir paling popular dari Hokkaido.
Di sini, pelawat boleh melihat sendiri proses pembuatan biskut melalui kilang yang terbuka kepada umum. Selain itu, terdapat juga aktiviti membuat coklat sendiri yang sangat menarik, terutamanya untuk keluarga yang datang bersama anak-anak.
Reka bentuk taman ini pula diinspirasikan daripada seni bina Eropah, lengkap dengan taman bunga yang cantik dan bangunan berwarna-warni. Setiap sudut di sini memang sangat sesuai untuk bergambar.
7. Nijo Market

Nijo Market merupakan destinasi wajib bagi pencinta makanan laut. Pasar ini terkenal dengan pelbagai jenis seafood segar seperti ketam, king crab, uni, salmon, dan pelbagai lagi hasil laut yang berkualiti tinggi.
Salah satu hidangan yang wajib dicuba di sini adalah kaisendon, iaitu nasi yang dihiasi dengan pelbagai jenis seafood mentah. Rasanya sangat fresh kerana kebanyakan bahan datang terus dari laut Hokkaido.
Suasana di pasar ini juga sangat menarik kerana korang boleh melihat peniaga menjual hasil laut secara langsung. Ia memberikan pengalaman yang lebih autentik berbanding makan di restoran biasa.
8. Hokkaido Shrine

Hokkaido Shrine merupakan kuil Shinto yang paling penting di Sapporo. Terletak dalam kawasan hutan yang luas, tempat ini memberikan suasana yang sangat tenang dan damai.
Pelawat biasanya datang untuk berjalan santai sambil menikmati keindahan alam sekitar. Pada musim bunga, kawasan ini dipenuhi dengan bunga sakura yang sangat cantik, menjadikannya salah satu lokasi terbaik untuk hanami di Sapporo.
Selain itu, anda juga boleh melihat seni bina tradisional Jepun yang masih dikekalkan dengan baik. Ia memberikan pengalaman budaya yang sangat berbeza daripada kawasan bandar moden.
9. Tanukikoji Shopping Street

Tanukikoji Shopping Street merupakan salah satu kawasan membeli-belah paling popular di Sapporo. Apa yang menarik, jalan membeli-belah ini berbumbung sepanjang kira-kira 1 kilometer, menjadikannya sangat sesuai untuk dilawati tanpa perlu risau tentang cuaca, sama ada hujan atau salji.
Di sepanjang Tanukikoji, terdapat pelbagai jenis kedai yang menjual barangan seperti pakaian, cenderamata, kosmetik, makanan ringan, serta produk tempatan Hokkaido. Bagi pelancong, tempat ini memang sesuai untuk mencari ole-ole sebelum pulang ke Malaysia.
Selain itu, terdapat juga banyak restoran dan gerai makanan yang menawarkan pelbagai hidangan tempatan. Anda boleh cuba snack Jepun seperti takoyaki, ais krim Hokkaido, atau sekadar lepak di kafe yang unik di sepanjang jalan ini.
Suasana di Tanukikoji juga sangat meriah, terutama pada waktu malam apabila lampu-lampu kedai dinyalakan. Ia memberikan pengalaman shopping yang sangat santai dan menyeronokkan. Sama ada korang nak membeli-belah atau sekadar window shopping, tempat ini memang wajib singgah dalam itinerary Sapporo.
10. Sapporo Clock Tower

Sapporo Clock Tower atau Tokeidai merupakan salah satu bangunan bersejarah paling terkenal di Sapporo. Walaupun saiznya tidak besar, nilai sejarahnya sangat tinggi kerana ia merupakan antara struktur terawal yang dibina ketika pembangunan bandar ini.
Di dalam bangunan ini terdapat muzium kecil yang memaparkan sejarah Sapporo serta perkembangan awal Hokkaido. Reka bentuk bangunan kayu ini juga sangat unik dan berbeza daripada bangunan moden di sekitarnya.
Ramai pelancong datang ke sini untuk bergambar kerana ia merupakan simbol klasik bandar Sapporo yang tidak lapuk ditelan zaman.
Anda Wajib Datang Sapporo Untuk Merasai Pengalaman Musim Sejuk
Secara keseluruhannya, Sapporo adalah destinasi yang sangat lengkap dan sesuai untuk pelbagai jenis pelancong. Sama ada anda minat alam semula jadi, makanan, sejarah, atau sekadar ingin menikmati suasana bandar yang tenang, semuanya ada di sini.
Keunikan Sapporo terletak pada keseimbangan antara moden dan tradisional, serta keindahan empat musim yang memberikan pengalaman berbeza setiap kali datang. Tapi paling best datang pada musim salji.
Jika ini adalah trip pertama ke Jepun, memilih Sapporo sebagai destinasi adalah satu keputusan yang sangat tepat. Dengan perancangan yang betul, perjalanan ke sini pasti akan menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.

















