Nagano merupakan salah satu wilayah di Jepun yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi serta kawasan pergunungan yang menakjubkan. Selain itu, budaya tradisional tetap terus dipelihara disini.
Terletak di tengah Pulau Honshu, Nagano pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 1998 dan sehingga hari ini masih menjadi destinasi popular dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia terutamanya pada musim sejuk.
Jika anda merancang untuk bercuti ke Jepun dan mahu lari daripada kesibukan bandar seperti Tokyo atau Osaka, Nagano ialah pilihan terbaik.
BACA JUGA :
- 16 Tempat Menarik Di Tokyo Anda Boleh Datang Ketika Bercuti Di Jepun
- Tempat-Tempat Menarik Di Osaka Anda Wajib Datang
Jom kita tengok senarai 10 tempat menarik di Nagano Jepun yang wajib dimasukkan dalam itinerary anda.
Senarai Tempat Menarik Di Nagano Jepun
Datang Nagano tapi tak tahu nak pergi mana? Jom tengok senarai 10 tempat menarik seperti dibawah :
1. Jigokudani Snow Monkey Park

Inilah ikon pelancongan paling terkenal di Nagano. Di sini anda boleh melihat monyet salji Jepun mandi dalam kolam air panas semula jadi ketika musim sejuk.
Pemandangan monyet yang berendam sambil dikelilingi salji memang unik dan sukar ditemui di tempat lain. Waktu terbaik untuk melawat ialah antara Disember hingga Februari.
2. Zenkoji Temple

Tempat kedua yang anda boleh pergi bila tiba di Nagano adalah Zenkoji Temple. Kuil bersejarah ini merupakan antara kuil Buddha tertua dan paling penting di Jepun.
Antara yang menarik tentang kuil ini adalah seni bina kayunya yang megah serta suasana tenang. Jalan menuju ke kuil dipenuhi kedai tradisional yang menjual makanan dan cenderamata tempatan.
3. Matsumoto Castle

Digelar sebagai “Black Crow Castle” kerana warna hitamnya yang unik, istana ini adalah antara istana tertua yang masih kekal asli di Jepun.
Struktur kayu dan pemandangan gunung di latar belakang menjadikannya sangat fotogenik, terutama ketika musim bunga dan musim luruh.
4. Kamikochi

Kamikochi ialah lembah indah yang terletak di Pergunungan Alps Jepun. Kawasan ini hanya dibuka dari musim bunga hingga musim luruh. Sungai yang jernih, jambatan kayu ikonik dan udara segar menjadikannya syurga bagi pencinta alam dan aktiviti hiking.
Disebabkan ianya dibuka dengan waktu terhad, jadi anda perlu atur perjalanan dan musim bila anda ingin datang ke Nagano nanti.
5. Togakushi Shrine

Kawasan ini berkait dengan legenda Shinto dan sejak dahulu menjadi lokasi pertapaan golongan ascetik gunung. Terdapat lima kuil Shinto di sini yang dihubungkan melalui laluan menuju ke kaki Gunung Togakushi.
Kuil Okusha merupakan yang paling terkenal dan terletak di penghujung laluan kira-kira 40 minit merentasi hutan. Sepanjang perjalanan, pengunjung dapat menikmati pemandangan deretan pokok berusia ratusan tahun serta suasana yang tenang
Disebabkan lokasinya yang terpencil, kawasan ini juga pernah menjadi tempat sesuai bagi ninja. Muzium Ninja Togakure yang terletak berhampiran pintu masuk Kuil Okusha memaparkan sejarah serta peralatan yang pernah digunakan oleh ninja.
6. Shiga Kogen

Shiga Kogen ialah kawasan ski terbesar di Jepun. Ia menjadi tarikan utama ketika musim sejuk untuk aktiviti ski dan snowboard. Pada musim panas pula, kawasan ini sesuai untuk trekking dan menikmati pemandangan gunung yang hijau.
7. Nozawa Onsen

Nozawa Onsen ialah sebuah pekan kecil yang terkenal dengan suasana tradisional Jepun, kolam air panas semula jadi dan resort ski bertaraf antarabangsa. Ingin merasai suasana klasik Jepun seperti kembali ke zaman dahulu, anda boleh datang sini.
Selain itu, tarikan utama yang ada di sini ialah 13 sotoyu (onsen awam) yang boleh digunakan secara percuma. Setiap rumah mandi mempunyai reka bentuk tradisional dan air panasnya datang terus dari sumber semula jadi. Pengunjung hanya perlu ikut etika mandi yang betul sebelum berendam.
8. Hakuba

Hakuba terkenal sebagai destinasi ski bertaraf antarabangsa. Kawasan ini juga pernah digunakan semasa Olimpik Musim Sejuk 1998. Selain musim sejuk, Hakuba menawarkan aktiviti berbasikal gunung dan hiking ketika musim panas.
9. Daio Wasabi Farm

Ladang wasabi terbesar di Jepun ini menawarkan pemandangan ladang hijau yang unik dengan kincir air tradisional. Anda juga boleh mencuba pelbagai makanan berasaskan wasabi termasuk ais krim wasabi yang terkenal.
Jadi kalau anda biasa makan wasabi selama berada di Jepun, mungkin ianya datang daripada ladang ini. Nanti boleh juga terus cuba disini bila datang ke Nagano.
10. Karuizawa

Karuizawa ialah bandar peranginan popular dalam kalangan penduduk Tokyo. Kawasan ini terkenal dengan butik, kafe bergaya serta suasana nyaman dikelilingi hutan. Ia sangat cantik ketika musim luruh apabila daun bertukar warna.
Kenapa Anda Perlu Melawat Nagano?
Nagano menawarkan gabungan lengkap alam semula jadi, sejarah dan pengalaman budaya Jepun yang autentik. Sama ada anda peminat aktiviti musim sejuk, pencinta hiking, penggemar sejarah atau sekadar mahu menikmati onsen tradisional, semuanya ada di sini.
Tambahan pula, lokasi Nagano yang tidak terlalu sesak seperti Tokyo menjadikan pengalaman percutian lebih santai dan selesa. Akses ke Nagano juga mudah dengan menaiki shinkansen dari Tokyo yang mengambil masa sekitar 2 jam sahaja.
Jika anda sedang mencari destinasi unik untuk trip Jepun seterusnya, masukkan Nagano dalam senarai perancangan anda. Dengan pelbagai tempat menarik di Nagano Jepun yang telah dikongsikan di atas, pasti percutian anda lebih bermakna dan penuh kenangan.

















