Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa kerajaan akan melakukan penambahbaikan terhadap program subsidi RON95 iaitu BUDI95.
Langkah ini diambil sebagai usaha untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global susulan konflik yang sedang berlaku di rantau Timur Tengah terutamanya berkaitan penutupan Selat Hormuz.
Pada masa yang sama, Malaysia masih menikmati antara harga bahan api paling rendah di rantau ini.
Laporan terdahulu juga menunjukkan bekalan petroleum negara berada pada tahap mencukupi dan dijangka mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
Kuota BUDI95 Dikurangkan Kepada 200L, Harga Kekal RM1.99 Seliter
Mulai 1 April 2026, had bulanan bagi pembelian petrol RON95 bersubsidi di bawah skim BUDI95 akan dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter.
Walau bagaimanapun, peruntukan khas sebanyak 800 liter sebulan untuk pemandu eHailing yang layak masih diteruskan tanpa sebarang perubahan.
Menurut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pelarasan terbaharu ini tidak akan memberi kesan kepada sekitar 90% rakyat Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, mendedahkan bahawa purata penggunaan bulanan BUDI95 adalah sekitar 83 liter.
Data yang sama turut menunjukkan bahawa majoriti, iaitu kira-kira 90% pengguna yang layak, menggunakan kurang daripada 200 liter daripada jumlah kuota bulanan mereka.
Adakah Anda Terkesan Dengan Pengurangan Kuota BUDI95?
Buat masa ini, harga petrol RON95 bersubsidi di bawah skim BUDI95 ditetapkan pada RM1.99 seliter.
Dengan had baharu sebanyak 200 liter sebulan, nilai maksimum pembelian bersubsidi yang boleh dinikmati ialah RM398 setiap bulan.
Jika perbelanjaan petrol RON95 anda berada di bawah jumlah ini, perubahan kuota yang diperkenalkan tidak memberi kesan ketara kepada anda.
Sebaliknya, jika penggunaan bulanan anda melebihi RM398, lebihan tersebut perlu dibayar pada kadar tanpa subsidi.

Berdasarkan harga terkini bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026, petrol RON95 tanpa subsidi dijual pada RM3.87 seliter. Ini bermaksud kos tambahan perlu ditanggung bagi penggunaan yang melepasi had subsidi yang ditetapkan.











