Bermula 1 Julai 2026, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menghentikan siaran saluran televisyennya di platform satelit milik Astro Malaysia Holdings Berhad selepas hampir tiga dekad bekerjasama dalam penyiaran.
Menurut laporan Berita Harian, perkara itu dimaklumkan menerusi satu pekeliling bertarikh 11 Mei selepas kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat berkaitan kadar bayaran serta syarat kontrak yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan masing-masing.
BACA JUGA : Astro Hentikan Saluran HBO Bermula Mac, Perkenal Empat Saluran Baharu
RTM menjelaskan bahawa perbincangan mengenai kadar kos dan sewaan perkhidmatan penyiaran sudah lama dijalankan, namun sehingga kini masih belum mencapai persetujuan bersama.
Senarai Saluran RTM Di Astro Yang Ditamatkan
Penamatan perkhidmatan tersebut melibatkan saluran TV1-HD (CH101), TV2-HD (CH102) dan TV Okey (CH146) yang disiarkan menerusi platform satelit Astro termasuk platform penstriman over-the-top (OTT) kendalian syarikat itu.
Kerjasama antara RTM dan Astro bermula sejak tahun 1996 menerusi siaran TV1 dan TV2. Sementara itu, saluran TV Okey yang dahulunya dikenali sebagai Muzik Aktif dan TVi pula mula dibawakan ke platform berkenaan pada tahun 2009.
Walaupun hubungan kerjasama itu memberikan manfaat kepada penonton selama ini, RTM berpandangan bahawa langkah menghentikan perkhidmatan tersebut adalah keputusan yang perlu dibuat bagi mengelakkan beban kewangan yang semakin mencabar untuk ditanggung.
Sumber : bharian.com.my











