Hari Hol Pahang sering muncul dalam kalendar cuti umum setiap tahun, tetapi masih ramai yang tertanya-tanya apakah sebenarnya maksud sambutan tersebut.
Ada yang menganggap ia sekadar cuti negeri biasa, sedangkan Hari Hol mempunyai kaitan rapat dengan sejarah Kesultanan Pahang dan institusi diraja negeri itu.
BACA JUGA : Senarai Cuti Umum Khas Negeri Pahang
Bagi penduduk luar Pahang, nama “Hari Hol” mungkin kedengaran agak unik kerana tidak semua negeri di Malaysia menggunakan istilah yang sama.
Tambahan pula, sambutan ini lebih bersifat tradisi dan warisan diraja yang sudah berlangsung sejak sekian lama.
Apa Itu Hari Hol Pahang
Perkataan “Hol” berasal daripada istilah Arab yang merujuk kepada hari memperingati seseorang yang telah meninggal dunia.
Di Pahang, Hari Hol disambut sebagai hari khas untuk mengenang kemangkatan keluarga diraja negeri tersebut.
Dalam konteks masyarakat Melayu dan institusi diraja, istilah ini digunakan untuk majlis doa dan tahlil bagi mengenang pemerintah terdahulu.
Hari Hol mula dijadikan cuti umum di negeri Pahang pada tahun 1974 sempena memperingati pemergian Sultan Pahang keempat, iaitu Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah yang juga merupakan ayahanda kepada Sultan Ahmad Shah. Baginda mangkat pada 7 Mei 1974.
Al-Marhum menghembuskan nafas terakhir di Istana Peninjau, Pekan ketika berusia 70 tahun selepas memerintah negeri Pahang selama 42 tahun.
Bermula tahun 2020 hingga sekarang, Hari Hol dipinda ke tarikh 22 Mei iaitu bersempena tarikh ulang tahun kemangkatan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Pahang yang kelima.
Al-Marhum menghembuskan nafas terakhir pada 22 Mei 2019, bersamaan dengan 17 Ramadan 1440 H iaitu ketika berusia 88 tahun.
Amalan Tradisi Sempena Hari Hol Pahang
Meskipun Hari Hol Pahang diraikan dalam suasana penuh penghormatan dan kesedihan, sambutan ini tetap mempunyai nilai agama serta unsur kenegaraan yang sangat signifikan.
Antara acara utama yang diadakan ialah bacaan Yasin dan majlis tahlil di masjid serta surau di seluruh negeri Pahang.
Majlis tersebut kebiasaannya lebih tertumpu di daerah Pekan kerana di situlah terletaknya Makam Diraja tempat Almarhum Sultan disemadikan.
Sebagai simbol rasmi berkabung, bendera negeri Pahang turut dikibarkan separuh tiang sepanjang sambutan berlangsung.
Dalam masa yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang semasa juga akan menyampaikan titah diraja menerusi acara rasmi yang dianjurkan.
Menerusi titah tersebut, baginda sering mengingatkan rakyat tentang pentingnya memelihara warisan pemerintahan negeri serta meneruskan nilai-nilai baik yang telah diwariskan sejak dahulu lagi.











