RTM sekali lagi diberi kepercayaan sebagai penyiar rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Scotland. Pengumuman ini dibuat selepas kejayaan RTM menyiarkan liputan langsung Piala Dunia FIFA 2026 baru-baru ini.
Sepanjang temasya berlangsung, RTM akan membawakan liputan menyeluruh menerusi saluran Sukan+ di MYTV 111, RTMKlik, media sosial rasmi RTM serta saluran Sukan+ di Astro 806. Penonton berpeluang mengikuti aksi atlet negara secara langsung dari Glasgow menerusi pelbagai platform yang disediakan.
BACA JUGA : Berita RTM dan Sukan+ Kini Disiarkan Di Platform Astro
100 Jam Siaran Untuk Temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026
Secara keseluruhannya, RTM akan menyediakan hampir 100 jam siaran meliputi upacara pembukaan, pertandingan harian, sorotan acara dan majlis penutup.
Dua sesi siaran langsung akan disiarkan setiap hari, iaitu sesi petang dari 6.00 petang hingga 9.00 malam bermula 24 Julai hingga 2 Ogos, manakala sesi awal pagi berlangsung dari 1.00 pagi hingga 4.00 pagi bermula 25 Julai hingga 2 Ogos. Selain itu, penonton turut disajikan sorotan harian selama sejam bermula 25 Julai hingga 3 Ogos.
Upacara pembukaan pada 24 Julai akan dikendalikan oleh tiga hos berpengalaman, iaitu Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari dan Nazrie Fahmie. Sementara itu, Grandstand Majlis Penutup pada 3 Ogos pula akan dihoskan oleh Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Iffah Hazim.
Aksi Kontinjen Malaysia Di Sukan Komanwel Glasgow 2026
Bagi temasya kali ini, kontinjen Malaysia diketuai oleh Chef de Mission Datuk Awalan Abdul Aziz dengan kekuatan 59 atlet, terdiri daripada 37 atlet able dan 22 atlet para.
Mereka akan bersaing dalam 64 acara merangkumi 10 jenis sukan, termasuk angkat berat, renang, berbasikal trek, bola keranjang 3×3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan olahraga.
Malaysia menyasarkan kutipan lima pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa berdasarkan prestasi semasa atlet negara. Liputan Sukan Komanwel Glasgow 2026 ini juga mencerminkan komitmen RTM untuk terus menyediakan kandungan sukan berkualiti kepada rakyat Malaysia.












