Tips Temuduga Kolej Vokasional: Panduan Lulus & Yakin Diri

By Mein Amorim

Published On:

Follow Us
tips temuduga kolej vokasional

Memasuki Kolej Vokasional kini menjadi pilihan ramai pelajar yang mahu fokus kepada kemahiran dan laluan kerjaya lebih praktikal atau dipanggil TVET. Namun sebelum berjaya melangkah masuk, ada satu fasa penting yang sering buat calon berdebar-debar iaitu sesi temuduga.

Ramai pelajar sebenarnya cemerlang atas kertas, tetapi gugup bila berhadapan panel penemuduga. Ada juga yang kurang jelas tentang soalan lazim temuduga Kolej Vokasional dan cara menjawab dengan betul. Disebabkan itu, persediaan awal sangat penting supaya peluang diterima lebih cerah.

BACA JUGA : Senarai Kolej Komuniti Yang Ada Di Malaysia

Kalau anda atau anak anda bakal menghadiri sesi temuduga Kolej Vokasional, panduan ini boleh dijadikan rujukan lengkap.

Tips ini telah dikongsikan sendiri oleh bekas pelajar Kolej Vokasional, saudari Nabiha Zaidi dan kini telah menjadi alumni

Tips Dan Proses Temuduga Kolej Vokasional

Seperti yang dikongsikan terdapat 4 perkara yang anda perlu titik beratkan sepanjang proses temuduga Kolej Vokasional:

Ujian Fizikal

Dalam sesi pemilihan, ada calon yang perlu menjalani ujian kecergasan seperti berlari mengelilingi padang atau sekitar kawasan kolej. Tujuan utama ujian ini adalah untuk menilai tahap stamina kerana kebanyakan program di Kolej Vokasional memerlukan tenaga yang kuat dan jadual pembelajaran pula agak panjang, biasanya dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Jika ketika ujian larian calon tiba-tiba pengsan, terlalu semput atau tidak mampu meneruskan larian, peluang untuk ke peringkat seterusnya memang tipis. Namun begitu, ada khabar mengatakan ujian fizikal ini mungkin sudah tidak lagi dijalankan, cuma perkara tersebut masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

Ujian Bertulis

Selain ujian kecergasan, calon juga mungkin akan melalui ujian bertulis. Soalannya tidaklah rumit atau mengelirukan. Kebiasaannya hanya melibatkan perkara asas sahaja.

Calon tidak perlu terlalu bimbang kerana tahap kesukarannya sederhana dan lebih kepada menguji kefahaman umum.

Ujian Kerohanian

Bagi sesetengah Kolej Vokasional, terdapat juga penilaian berkaitan aspek kerohanian. Antaranya termasuk bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi memastikan calon mampu membaca dengan baik serta bacaan dalam solat.

Walau bagaimanapun, ujian ini tidak semestinya dilaksanakan di semua KV. Sebagai contoh, di KV Sungai Petani 2 ujian seperti ini memang biasanya ada, tetapi tempat lain mungkin berbeza.

Temuduga

Sesi temuduga pula perlu dihadapi dengan persediaan rapi, sama seperti menghadiri temuduga pekerjaan. Calon disarankan membuat persediaan awal dan memahami perkara asas tentang kursus yang dipohon.

Antara soalan yang lazim ditanya termasuklah:

  • Sila perkenalkan diri anda.
  • Mengapa anda memilih program dan kolej ini.
  • Apakah pencapaian anda sepanjang di sekolah.
  • Apakah pengetahuan anda tentang kursus yang dipohon.
  • Apakah peluang kerjaya berkaitan kursus tersebut.
  • Apakah pandangan anda mengenai Kolej Vokasional.
  • Apakah hobi dan cita-cita anda.

Soalan berkaitan hobi dan cita-cita sebenarnya boleh menjadi soalan perangkap. Jika jawapan yang diberikan langsung tidak ada kaitan dengan bidang yang dipilih, panel mungkin meragui kesungguhan calon.

Contohnya, mengambil kursus Seni Kulinari tetapi menyatakan hasrat menjadi doktor jelas menunjukkan minat yang tidak selari.

Secara keseluruhan, bentuk soalan memang hampir sama seperti temuduga kerja. Perkara paling utama ialah menjawab dengan penuh keyakinan, bercakap secara jujur dan tidak mereka-reka cerita.

Selain penilaian umum tersebut, setiap kursus mempunyai ujian tambahan yang berbeza mengikut bidang.

Sebagai contoh, calon Seni Kulinari mungkin diminta menyebut sekurang-kurangnya sepuluh jenis bahan masakan. Jika di hadapan terdapat rempah kari, bunga cengkih, bunga kantan atau daun sup, calon perlu mengenal pasti bahan tersebut dengan betul.

Bagi bidang fesyen pula, mungkin terdapat tugasan berkaitan lakaran atau rekaan pakaian. Untuk kursus Kesetiausahaan, calon biasanya perlu menunjukkan sedikit kemahiran berbahasa Inggeris dalam perbualan asas.

Untuk info lanjut, anda boleh portal rasmi Kementerian Pendidikan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now