Telekom Malaysia (TM) kini membuka akses percuma kepada 73 saluran premium Unifi TV untuk semua pengguna sehingga 30 September 2026. Tawaran ini turut merangkumi saluran popular dan eksklusif seperti HBO serta Cinemax.
Promosi khas tersebut diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM), selain menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-80 Telekom Malaysia.
Menariknya, kemudahan ini tidak terhad kepada pelanggan Unifi sahaja. Pengguna yang tidak melanggan Unifi juga boleh menikmati akses berkenaan secara percuma, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk menonton pelbagai jenis kandungan seperti filem blockbuster, hiburan, acara sukan, berita, gaya hidup, program pembelajaran dan rancangan kanak-kanak.

Cara Akses 73 Saluran Unifi TV Secara Percuma
Pengguna hanya perlu membuat pendaftaran menggunakan alamat e-mel untuk mendapatkan akses tanpa dikenakan sebarang bayaran. Kandungan Unifi TV tersebut boleh distrim menerusi Smart TV, telefon pintar, tablet dan Android TV box dengan menggunakan aplikasi Unifi TV 2.0.
BACA JUGA : Internet Slow? Ini Cara Check Speed Test Unifi
Akses percuma ini akan kekal sehingga 30 September ini. Selepas tempoh promosi berakhir, akses kepada saluran premium tersebut tidak lagi diberikan secara percuma dan pengguna boleh memilih pakej premium yang bersesuaian sekiranya mahu meneruskan langganan.
Bagaimanapun, Unifi TV masih akan menawarkan 22 saluran percuma mulai 1 Oktober 2026. Jumlah tersebut terdiri daripada 16 saluran FTA serta enam saluran premium tambahan, iaitu DEGUP HD, Dunia Sinema HD, Sensasi HD, Inspirasi HD, Pesona HD dan Al Jazeera.
Pengguna sedia ada tidak perlu melakukan pendaftaran baharu untuk terus menikmati saluran percuma yang tersedia selepas tempoh promosi tersebut.
Sumber : Unifi











