Saluran Percuma Untuk Semua Pelanggan Astro Bermula 15 Ogos Ini

By Mein Amorim

Published On:

Follow Us
astro 30 saluran percuma astro

Ada berita baik untuk semua pelanggan Astro dan tiada yang terkecuali. Sempena meraikan ulang tahun ke-30 Astro, anda kini boleh nikmati dan mendapat akses untuk kesemua saluran Astro secara percuma.

Ini pastinya berita yang paling dinantikan oleh pelanggan setia Astro. Tawaran ini akan bermula dari 15 Ogos hingga 16 September 2026. Jadi sepanjang tempoh tersebut, anda boleh tonton pelbagai kandungan Astro di semua saluran yang ditawarkan. Njoi tak dapat.

Sebenarnya menerusi pengumuman yang dibuat Astro, selain daripada tawaran saluran percuma, pelbagai lagi berita gembira yang diumumkan untuk pelanggan setia mereka termasuk pelancaran 2 saluran khas, kebenaran akses perkhidmatan TV Pintar (Astro X3) dan penganjuran pelbagai event di lapangan.

Diperkenalkan 2 Saluran Pop-up Khas

Sempena sambutan 30 tahun dan termasuk Hari Kebangsaan 31 Ogos ini, Astro memperkenalkan 2 saluran pop-up khas iaitu Astro 30 (CH100) dan Aniplus (CH120).

astro 30 aniplus

Bermula 15 Ogos hingga 31 Oktober 2026, menerusi Astro 30 (CH100), penonton berpeluang menikmati pelbagai kandungan hiburan menarik yang menampilkan filem antarabangsa popular serta program tempatan.

Antara yang tersedia termasuk koleksi lengkap lapan filem Spider-Man, filem popular How to Make Millions Before Grandma Dies dan BTS: Love Yourself in New York Concert Film.

Turut disediakan ialah dokumentari Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026, program Tom Tom Bak serta The Last Kopek Senario Reunion 30 Tahun, yang menghimpunkan semula barisan pelawak terkenal Senario.

Manakala untuk saluran Aniplus (CH120), anda boleh nikmatinya bermula dari 15 Ogos sehingga 31 Disember 2026. Peminat animasi Jepun berpeluang menikmati pelbagai judul anime terkini yang disediakan untuk tontonan.

Antara siri yang ditampilkan ialah Trapped in a Dating Sim 2: The World of Otome Games is Tough for Mobs serta Hanaori-san Still Wants to Fight in the Next Life.

4 Saluran Percuma Untuk Pengguna NJOI

Untuk pengguna NJOI juga tidak dilupakan. Astro turut mengumumkan penambahan 4 saluran percuma iaitu Astro Prima (CH105), Astro Oasis (CH106), Astro AEC (CH306) dan Stadium Astro (CH802) yang mana akan bermula pada 13 Ogos 2026.

BACA JUGA : Berita RTM dan Sukan+ akan bersiaran di Astro mulai 23 Julai Termasuk Di NJOI

Dengan penambahan ini, menjadikan jumlah tontonan percuma NJOI sebanyak 26 saluran secara keseluruhan. Anda tidak perlu lagi untuk melanggan dan membayar saluran-saluran ini.

Acara Kemuncak

Astro bakal meneruskan kemeriahan ulang tahun ke-30 menerusi Astro 30th Anniversary Showcase yang akan berlangsung pada 23 Ogos 2026. Acara tersebut dijadualkan diadakan di Pintu Masuk Utama Pavilion Kuala Lumpur dari jam 4 petang hingga 10 malam.

Pelbagai selebriti popular tempatan dijangka memeriahkan pentas, antaranya Faizal Tahir, Sherry Al Hadad, Stacy Anam, ALPHA, Vanessa Reynauld dan Auddra. Kumpulan tarian popular Zeppo Youngsterz turut menjadi antara tarikan utama acara berkenaan.

Pengunjung juga berpeluang bertemu pelakon-pelakon utama daripada beberapa karya terkenal seperti Kudrat, prekuel kepada Project: High Council, Terbang yang mengangkat kisah pelumba rali legenda Karamjit Singh, drama Cina Wolong: The Mastermind serta siri Tamil Visham.

Kempen ulang tahun ini turut diserikan dengan beberapa aktiviti Astro Audio. Antaranya termasuk jelajah KITA FM 2026: Satu Nama, Satu Suara, Larian 63 Kilometer dalam usaha mencatat rekod Malaysia Book of Records, selain konsert MY FM Big Show yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 17 Oktober 2026.

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now