Durian sangat sinonim dengan rakyat Malaysia, dikenali sebagai raja buah yang digemari ramai. Dengan pelbagai jenis durian yang tumbuh di seluruh negara, setiap satunya mempunyai rasa, tekstur dan aroma yang unik.
Sama ada anda penggemar durian tegar atau baru mula nak cuba, mungkin ada yang masih keliru untuk mengenali perbezaan antara durian Musang King, D24, Udang Merah dari segi rasa dan rupa buah tersebut.
Malaysia merupakan antara pengeluar durian berkualiti tinggi di dunia, sehingga China pun datang ke sini untuk merasai durian asli. Jadi jom kenali lebih lanjut tentang jenis-jenis durian yang popular dan digemari ramai di Malaysia.
Jenis-Jenis Durian Yang Ada Di Malaysia
Berikut merupakan bebera jenis durian yang paling popular dijual di Malaysia. Anda boleh kenali rupa setiap jenis dan nama saintifik disebaliknya.
1) IOI (D168 atau Mas Muar)

Durian IOI mempunyai isi berwarna kuning jingga, sederhana tebal, tekstur halus dan mempunyai rasa yang manis. Beraroma sederhana. Bentuk buah bulat lonkong dan terdapat lekukan pada bawah buah. Mempunyai duri yang rapat, halus dan sederhana panjang.
Saiz untuk jenis durian IOI ini adalah sederhana besar dan kebanyakkannya berat di antara 1.5 hingga 2.5 kg.
2) Udang Merah (D175 atau Ang Hee)

Durian Udang Merah mempunyai isi berwarna kuning kemerahan berkilat, tebal, tekstur halus dan rasanya lemak manis dan sedikit pahit. Kulit berwarna hijau keperangan dan menampakkan kelabu keputihan di celah-celah duri.
D175 mempunyai bentuk buah bulat menirus di bawah serta mempunyai duri yang sederhana besar dan pendek. Durian jenis ini bersaiz sederhana besar dan kebanyakkannya berat antara 1.2 hingga 2.5 kg.
3) Musang King (D197 atau Raja Kunyit)

Durian Musang King antara yang paling popular dan mendapat permintaan ramai. Buah berbentuk bulat bujur, duri berbentuk piramid dan sederhana rapat. Manakala kulitnya berwarna hijau keperangan dan memiliki cincin berbentuk mahkota pada pangkal tangkai buah.
BACA JUGA : Dapatkan Durian Musang King Dengan Harga Paling Murah Disini
Bahagian bawa buah berbentuk seperti tapak sulaiman dan mempunyai pangsa yang jelas. Bersaiz sederhana besar dan kebanyakkannya berat antara 1.3 hingga 3 kg. Musang King mempunyai isi yang berwarna kuning kunyiy berkilat, tebal, tekstur halus, rasanya lemak manis sedikit pahit dan aromanya kuat.
4) Duri Hitam (D200 atau Ochee)

Biasanya anda akan dapat lihat kulit berwarna hijau keperangan dan buah durian Duri Hitam akan berbentuk bulat. Bersaiz sederhana besar dan berat antara 1.3 hingga 3 kg. Bahagian bawah buah terdapat keperangan yang tidak berduri. Di tengah-tengah kawasan tersebut terdapat satu duri yang berwarna hitam.
Duri Hitam atau biasa dengan orang panggil Blackthorn mempunyai isi berwarna kuning kemerahan (jingga), tebal, tekstur halus, rasanya manis pekat berkrim dan sedikit pahit serta beraroma sederhana. Biji sederhana besar.
5) D24

Anda boleh kenali durian D24 dengan bentuk buah bulat membujur dan mempunyai duri yang pendek dan halus. Kulit berwarna hijau keperangan.
Bahu rata dan bercincin pada bahagian pangkal tangkai. Manakala bahagian bawah buah terdapat bulatan berwarna coklat perang dengan titik kehitaman di tengahnya. Buah bersaiz sederhana besar dan berat antara 1.2 hingga 2.5 kg.
D24 mempunyai isi berwarna kuning pucat (krim kekuningan) dan berkilat, tebal, tekstur halus, rasanya lemak manis dan sedikit pahit serta bergas dan beraroma. Biji agak besar. Jadi jaga-jaga jangan sampai tertelan.
6) Tangkai Panjang (D158 atau Kan Yau)

Bentuk buah bulat dan sedikit membujur. Mempunyai saiz duri yang sederhana dan pendek. Paling mudah untuk mengenali durian Tangkai Panjang adalah ianya mempunyai tangkai yang sangat panjang.
Kulit berwarna hijau tua. Bahagian bawah buah terdapat lekukan. Buah bersaiz sederhana besar dan kebanyakkannya berat di antara 1.3 hingga 3.5 kg.
Isi berwarna kuning, tebal, tekstur halus, rasanya lemak manis dan sedikit pahit. Biji agak besar.
7) Musang Queen (D160 atau Tekka)

Jika ada King, pasti ada Queenya. Inilah dia Musang Queen yang berbentuk bulat lonjong iaitu besar di bahagian atas dan kuncup di bawah. Mempunyai duri yang jarang, besar dan pendek. Kulit berwarna hijau keperangan.
Biji sederhana besar dan empulur berongga. Musang Queen bersaiz sederhana besar dan kebanyakkanya berat di antara 1.5 hingga 3 kg.
Isi durian berwarna kuning pucat (krim kekuningan), tebal, tekstur halus, rasanya lemak manis berkrim dan sedikit pahit serta beraroma sederhana.
8) D13 (Golden Bun)

Jenis durian terakhir adalah D13 atau dikenali juga dengan Golden Bun. Bentuk buah bulat menirus di bawah dan mempunyai duri yang sederhana besar dan pendek. Kulit berwarna hijau tua dan berat buahnya antara 1 hingga 1.5 kg.
Isi berwarna kuning kemerahan berkilat, tebal, tekstur halus, rasanya lemak manis dan sedikit pahit.
Jadi anda dah tahu jenis-jenis durian popular yang ada di Malaysia. Dalam banyak-banyak buah durian ini, jenis mana yang anda rasa paling sedap? Kongsilah dengan kami…
Sumber : FAMA Malaysia











