Kenali Jenis Setiap Minuman Kopi Yang Biasa Dijual Di Kafe

By Mein Amorim

Published On:

Follow Us
jenis minuman kopi

Pernah tak anda berdiri di depan kaunter mana-mana kedai kopi sambil rasa serba salah sebab terlalu banyak pilihan dalam menu?

Niat asal cuma nak cuba secawan kopi, tetapi bila terpandang senarai nama seperti Cappuccino, Latte, Mocha dan Americano, terus jadi keliru.

Tambahan pula jika itu kali pertama anda menjejakkan kaki ke kafe moden, memang boleh buat rasa kekok hendak menyebut namanya.

BACA JUGA : Resepi Dan Cara Buat Dalgona Coffee Di Rumah

Sebenarnya, kebanyakan minuman kopi di kafe menggunakan asas yang sama, cuma cara penyediaan dan campurannya berbeza.

Jadi sebelum anda keluar lepak bersama kawan-kawan, elok juga kenali beberapa jenis kopi popular yang sering ditawarkan di kedai-kedai atau kafe di luar sana. Bila sudah faham bezanya, barulah lebih yakin membuat pesanan di kaunter.

Kenali Jenis Minuman Kopi Yang Dijual Di Kedai Kopi

Berikut ialah enam jenis kopi yang biasa anda temui di kebanyakan kafe

1. Espresso

jenis minuman kopi Espresso

Espresso merupakan asas kepada hampir semua jenis minuman kopi moden. Ia dihasilkan menggunakan mesin bertekanan tinggi bagi mengekstrak pati kopi yang paling pekat. Disebabkan kepekatannya, espresso biasanya dihidangkan dalam cawan kecil sahaja.

Rasanya kuat dan agak pahit, sesuai untuk mereka yang mahukan lonjakan tenaga segera atau perlu berjaga hingga lewat malam. Jika tidak tahan pahit, anda masih boleh menambah sedikit gula mengikut citarasa sendiri. Walaupun saiznya kecil, kesannya memang “power”.

2. Mocha

Bagi pencinta coklat, mocha boleh dianggap gabungan terbaik antara kopi dan coklat. Minuman ini diinspirasikan daripada minuman Itali bernama Bicerin, namun versi moden lebih popular di Amerika.

mocha

Rasanya bergantung pada keseimbangan antara espresso dan sirap coklat yang digunakan oleh barista. Ada yang lebih dominan rasa kopi, ada juga yang lebih manis berperisa coklat. Mocha boleh dinikmati dalam keadaan panas atau sejuk mahupun frappe.

Kini banyak kafe menambah sentuhan istimewa seperti krim putar, marshmallow atau serpihan coklat sebagai hiasan. Bukan sahaja sedap, malah nampak lebih menarik.

3. Latte

Latte sering disebut sebagai versi “kopi susu” yang lebih premium. Cara penyediaannya ringkas, iaitu satu atau dua shot espresso dicampurkan dengan susu yang dipanaskan dan dikukus (steamed milk).

Latte

Nama penuhnya ialah Caffè Latte. Dalam bahasa Itali, “latte” bermaksud susu. Jika anda melancong ke Itali dan ingin order “latte”, kemungkinan besar anda akan diberikan segelas susu kosong. Jadi pastikan sebut dengan lengkap.

Rasa latte lebih lembut dan kurang pahit berbanding espresso, sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan kopi.

4. Cappuccino

Sekilas pandang, cappuccino hampir sama dengan latte. Kedua-duanya menggunakan espresso dan susu kukus sebagai bahan utama. Namun, perbezaan utama terletak pada lapisan buih susu tebal di bahagian atasnya.

Cappucino

Buih susu ini dihasilkan menggunakan teknik khas dengan bantuan mesin tekanan wap. Teksturnya lebih berbuih dan memberikan rasa yang sedikit lebih ringan apabila diminum.

Jika mahu cara mudah untuk membezakan, bayangkan cappuccino sebagai latte yang mempunyai “toping” dengan buih susu di atasnya.

5. Americano

Americano sering muncul dalam drama Korea apabila watak berada di kafe. Rupanya seperti kopi hitam biasa, tetapi proses penyediaannya berbeza.

Minuman ini dibuat dengan menambahkan air panas ke dalam espresso. Hasilnya, rasa kopi masih beraroma kuat namun tidak sepekat espresso tulen. Kandungan kafeinnya juga terasa lebih ringan kerana telah dicairkan dengan air.

Americano

Biasanya dihidangkan dalam cawan atau gelas yang lebih besar, Americano sesuai diminum ketika cuaca panas atau bagi mereka yang sukakan kopi hitam yang tidak terlalu pekat.

6. Macchiato

Macchiato mempunyai nama yang unik dan menarik. Asasnya ialah espresso, tetapi ditambah sedikit susu untuk melembutkan rasa.

Macchiato

Berbeza dengan latte yang mencampurkan susu dalam jumlah banyak, macchiato hanya “ditompok” dengan sedikit susu.

Perkataan “macchiato” berasal daripada bahasa Itali yang membawa maksud “bertompok” atau “berkesan”. Sebab itulah anda akan nampak lapisan kopi yang kelihatan seperti tompokan di dalam gelas.

Kini terdapat pelbagai variasi macchiato dengan tambahan perisa seperti karamel, vanila dan coklat yang menjadikannya lebih moden dan sesuai dengan selera semasa.

Anda Suka Jenis Minuman Kopi Yang Mana?

Setiap jenis kopi mempunyai karakter tersendiri, daripada yang paling pekat hingga yang paling lembut rasanya. Pilihan akhirnya bergantung kepada selera dan tahap toleransi anda terhadap rasa pahit kopi.

Selepas ini, tidak perlulah rasa gugup apabila tiba di kaunter kafe. Sebut sahaja dengan yakin minuman pilihan anda. Kalau sudah biasa dengan istilahnya, memang lebih mudah untuk menikmati pengalaman minum kopi tanpa rasa segan lagi.

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now