Perayaan Thaipusam bagi tahun 2026 akan berlangsung pada hari Ahad, iaitu 1 Februari 2026.
BACA JUGA : Kalendar & Senarai Cuti Umum Untuk Tahun 2026
Sebagai antara perayaan keagamaan yang utama di Malaysia, persoalan sama ada tarikh tersebut diisytiharkan sebagai cuti sering menjadi perhatian ramai, khususnya bagi tujuan perancangan kerja, perjalanan dan aktiviti keluarga.
Namun begitu, berdasarkan sistem cuti umum negara, Thaipusam bukan cuti yang dikuatkuasakan secara menyeluruh di peringkat Persekutuan. Sebaliknya, penetapan cuti bagi perayaan ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.
Negeri Yang Tidak Memperuntukkan Cuti Umum Thaipusam
Untuk tahun 2026, terdapat tujuh negeri yang tidak memasukkan Hari Thaipusam sebagai cuti umum dalam kalendar rasmi mereka.
Di negeri-negeri ini, aktiviti harian termasuk operasi pejabat, persekolahan dan urusan pekerjaan akan diteruskan seperti biasa pada hari Isnin, 1 Februari 2026. Negeri-negeri tersebut ialah:
- Perlis
- Kelantan
- Terengganu
- Pahang
- Melaka
- Sabah
- Sarawak
Bagi negeri Kedah pula, walaupun Thaipusam bukan cuti umum tetap, kerajaan negeri mempunyai sejarah memberikan cuti khas sebagai tanda penghormatan kepada penganut yang menyambut perayaan tersebut.
Sejajar dengan amalan terdahulu, kerajaan negeri Kedah telah meluluskan Cuti Peristiwa bersempena sambutan Thaipusam pada 1 Februari 2026.

Keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, pada 21 Januari yang lalu.
Cuti Penggantian Pada Isnin, 2 Februari 2026
Bagi negeri dan wilayah yang mengambil Thaipusam sebagai cuti umum, tarikh 1 Februari yang jatuh pada hari Ahad secara automatik menyebabkan hari Isnin berikutnya diberikan sebagai cuti kelepasan am atau cuti gantian.
Negeri dan wilayah yang terlibat dengan cuti penggantian ini termasuk:
- Kuala Lumpur
- Putrajaya
- Selangor
- Johor
- Negeri Sembilan
- Perak
- Pulau Pinang
Walaupun tidak semua negeri mengambil cuti sempena Thaipusam, peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya utama tetap dijangka berlaku.

Keadaan ini berpunca daripada pergerakan penganut Hindu serta pelancong yang menuju ke lokasi tumpuan sambutan seperti Batu Caves di Selangor dan Kuil Air Terjun di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan agar menyemak lebih awal jadual perjalanan serta waktu operasi jabatan kerajaan dan institusi kewangan, khususnya jika melibatkan urusan di negeri-negeri yang melaksanakan cuti penggantian pada hari Isnin berkenaan.











