Doa Dhuha merupakan doa yang dibaca atau diamalkan sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat Dhuha. Solat sunat ini dikerjakan pada waktu pagi, bermula selepas matahari terbit sehingga sebelum masuknya waktu Zuhur.
Dalam Islam, solat Dhuha mempunyai kelebihan yang besar dan sering dikaitkan dengan ikhtiar memohon rezeki yang luas, dipermudahkan segala urusan serta memperoleh keberkatan dalam kehidupan seharian.
BACA JUGA : Contoh Ucapan Selamat Pagi Dan Doa Untuk Semua
Menerusi artikel ini, kami akan berkongsi panduan lengkap bacaan doa Dhuha yang disertakan dengan teks Arab, ejaan Rumi serta terjemahan dalam Bahasa Melayu bagi memudahkan anda mengetahui dan menghayati maksudnya.
Bacaan Doa Dhuha
Bahasa Arab

Bacaan Rumi
Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka. Walbahaa’a bahaa uka. Waljamaala jamaaluka. Walquwwata quwatuka. Walqudrota qudrotuka. Wal’ismata ‘ismatuka. Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu. Wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu. Wa’in kaana mu’assaron fayassirhu. Wa’in kaana harooman fathohhirhu. Wa’inkaana ba’idan faqorribhu. Bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita min ‘ibaadikassolihiin.
Terjemahan Doa Dhuha
“Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan, keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”
Kelebihan Solat Sunat Dhuha
Solat sunat Dhuha merupakan antara amalan sunnah yang sentiasa dipelihara oleh Rasulullah SAW. Baginda juga menggalakkan umat Islam agar menjadikan ibadah ini sebagai amalan yang dilakukan secara konsisten dalam kehidupan seharian.
Perkara ini dijelaskan menerusi hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah berpesan kepadanya supaya tidak meninggalkan tiga amalan sehingga akhir hayat, iaitu berpuasa tiga hari pada setiap bulan, menunaikan solat sunat Dhuha dan mengerjakan solat witir. (Hadis Riwayat Bukhari)
Selain itu, solat sunat Dhuha turut mempunyai ganjaran yang sangat besar. Antara keistimewaannya ialah pahala yang diperoleh seumpama seseorang bersedekah bagi setiap 360 sendi yang terdapat pada tubuh badan manusia. Kelebihan ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى
Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” [Riwayat Muslim (720)]
Secara keseluruhannya, waktu Dhuha menawarkan pelbagai kelebihan dan ganjaran kepada setiap Muslim yang memanfaatkannya dengan beribadah. Oleh itu, membiasakan diri menunaikan solat sunat Dhuha serta mengamalkan doa Dhuha selepas solat adalah antara amalan yang amat dianjurkan.
Lebih istimewa lagi, ganjaran dan keberkatan yang dijanjikan menjadi semakin besar bagi mereka yang terus beristiqamah serta menjadikan amalan ini sebagai rutin dalam kehidupan seharian.











