Trademark “Hey What’s Up Guys” sudah menjadi pembuka kata wajib setiap kali Khairul Aming muncul dengan kandungan baru di media sosial.
Sebut sahaja ayat itu, pasti ramai terus terbayang wajah seorang pempengaruh yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia, tidak kira usia muda mahupun golongan dewasa.
Dalam dunia penciptaan video digital, nama Khairul Aming bukan lagi asing malah sering dijadikan contoh kerana konsistensi dan kualiti kandungan yang dihasilkan.
Bermula dengan siri video memasak popular “30 Hari 30 Resipi”, perjalanan beliau tidak terhenti setakat pencipta kandungan semata-mata.

Hari ini, beliau sudah membina empayar perniagaan sendiri termasuk memiliki kilang pengeluaran produk makanan di Kelantan serta sebuah restoran eksklusif yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur.
Segala pencapaian ini bukanlah hasil jalan singkat, sebaliknya lahir daripada proses panjang yang dipenuhi ujian, kesilapan dan pengalaman jatuh bangun sebelum kejayaan dikecapi.
Jom kita mengenali dengan lebih dekat figura inspirasi ini.
Biodata Khairul Aming
- Nama Sebenar : Khairul Aming Bin Kamarulzaman
- Nama Panggilan : Aming, KA
- Tarikh Lahir : 25 September 1992
- Umur : 34 Tahun (2026)
- Tempat Lahir : Kota Bharu, Kelantan
- Pekerjaan : Influencer, Youtuber, Usahawan
- Akaun Media Sosial :
- Instagram : @khairulaming
- TikTok : @khairulaming
- X (dulu Twitter) : @khairulaming
- Threads : @khairulaming
Latar Belakang Pendidikan
Dari segi akademik, Khairul Aming bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Vanderbilt University di Amerika Syarikat dalam bidang kejuruteraan. Pengkhususan beliau adalah Kejuruteraan Mekanikal dengan minor dalam Material and Science Engineering.

Sepanjang pengajian, kecemerlangan akademiknya terbukti apabila beliau menerima Anugerah Dekan setiap semester dan turut memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Pelajar Malaysia.
Kehidupan Peribadi
Khairul Aming merupakan anak ketiga daripada empat beradik. Menyentuh soal kehidupan peribadi, beliau secara terbuka berkongsi bahawa dirinya masih bujang.
Buat masa ini, soal perkahwinan belum menjadi keutamaan memandangkan fokus utama beliau adalah mengembangkan perniagaan dan kerjaya yang semakin berkembang pesat.
Kerjaya dan Perjalanan Profesional
Kerjaya awal Khairul Aming bermula sebagai seorang jurutera dalam industri minyak dan gas.
Namun pada tahun 2020, beliau membuat keputusan besar untuk meninggalkan kerjaya tersebut dan menumpukan sepenuh masa kepada penghasilan kandungan digital.
Beliau memulakan langkah dengan menghasilkan video masakan di saluran YouTube “Rasapop” sebelum menjenamakan semula dirinya menggunakan nama sendiri di Instagram.
Kemuncak popularitinya tercetus menerusi siri “30 Hari 30 Resipi” yang diterbitkan setiap kali menjelang Ramadan.
Kandungan ini melonjakkan namanya sehingga dikenali di seluruh Malaysia walaupun beliau bergerak secara eksklusif dalam dunia media sosial.
Pada tahun 2021, Khairul Aming melangkah ke dunia perniagaan dengan pelancaran produk Sambal Nyet yang mencatat kejayaan luar biasa.
Dapatkan DISINI

Kejayaan tersebut diteruskan dengan pengenalan Dendeng Nyet Berapi yang sekali lagi mencipta fenomena apabila berjaya mencapai jualan RM1 juta dalam tempoh hanya beberapa minit menerusi TikTok Shop.
Produk seterusnya, Rendang Nyet Berapi, turut menerima sambutan hebat sehingga memerlukan dua buah kilang bagi memenuhi permintaan pasaran.
Tidak terhad kepada produk makanan dalam bentuk bungkusan, Khairul Aming melebarkan sayap ke industri makanan dan minuman apabila membuka restoran Rembayung pada tahun 2026.

Restoran ini mencetuskan sensasi apabila lebih 30,000 individu cuba membuat tempahan awal bagi merebut hanya 250 slot pelanggan yang disediakan setiap hari.
Pencapaian Khairul Aming
Sebagai influencer usahawan berjaya, Khairul Aming telah menerima pelbagai pengiktirafan atas sumbangan serta pencapaiannya dalam dunia kandungan digital dan perniagaan.
Senarai Anugerah
- Creator of The Year, Anugerah TikTok Malaysia 2023
- Anugerah Penjual Baharu Terbaik Shopee 2022
- Anugerah Khidmat Pelanggan Terbaik 2022
- Ikon Inspirasi TikTok Shop 2023
- Pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi jualan terpantas RM1 juta di TikTok Shop Malaysia dengan catatan masa 3 minit 28 saat

Pertemuan Khairul Aming Bersama Perdana Menteri New Zealand
Pada September 2024, Khairul Aming menerima jemputan istimewa untuk bertemu Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia.
Pertemuan tersebut tercetus hasil video travelog masakan yang dihasilkan Khairul Aming ketika berada di negara tersebut.
Kandungan berkenaan menarik perhatian Perdana Menteri New Zealand yang kemudiannya menyatakan hasrat untuk bertemu secara peribadi bagi menyampaikan penghargaan terhadap usaha dan kreativiti beliau.

Fakta Menarik Tentang Khairul Aming
- Khairul Aming merupakan satu-satunya individu yang diikuti oleh akaun TikTok rasmi Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial)
- Ungkapan “Hey What’s Up Guys” menjadi identiti dan tanda pengenalan dirinya.
- Jumlah pengikut beliau mencecah jutaan di pelbagai platform termasuk Instagram, TikTok dan X (dahulu Twitter).
- Jamie Oliver merupakan figura cef yang menjadi inspirasi utama beliau dalam dunia masakan.
- Video resipi pertama yang dihasilkan ialah hidangan muffin telur.
- Setiap video masakan yang dimuat naik mampu meraih jutaan tontonan dan sering tular di pelbagai platform media sosial.
- Idea awal menghasilkan video masakan tercetus ketika beliau berasa mengantuk.
- Walaupun kelihatan pemalu, beliau dikenali sebagai individu yang ceria dan gemar menceriakan suasana.
- Minat terhadap dunia masakan mula bercambah sejak usia sekolah rendah hasil menonton rancangan masakan di televisyen.
- Dalam kehidupan peribadi, beliau melalui fasa sukar apabila kehilangan bapa tercinta pada Mac 2020.
Ramai yang melihat kejayaan Khairul Aming hari ini tanpa menyedari bahawa beliau pernah berdepan pelbagai kegagalan sebelum mencapai tahap sekarang.
Kejayaan ini menjadi bukti bahawa usaha berterusan dan kesungguhan mampu membuahkan hasil.
Tahniah Khairul Aming, semoga pencapaian anda terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda yang bercita-cita untuk berjaya sebagai pempengaruh media sosial dan usahawan.













