Apple Store Kedua Malaysia Bakal Dibuka Di Putrajaya?

By Mein Amorim

Published On:

Follow Us
apple store kedua malaysia

Malaysia berkemungkinan akan mempunyai Apple Store rasmi kedua dalam masa terdekat, dengan Putrajaya dilihat sebagai lokasi yang paling berpotensi untuk cawangan baharu tersebut.

Petunjuk mengenai perkara itu muncul selepas Apple menyenaraikan beberapa jawatan kosong baru menerusi laman kerjaya rasminya. Menariknya, kesemua kekosongan berkenaan menetapkan Putrajaya sebagai lokasi penempatan, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa Apple sedang membuat persiapan untuk membuka kedai rasmi kedua di Malaysia.

jawatan kosong apple store kedua malaysia

Secara keseluruhan, terdapat 22 jawatan yang ditawarkan dan ia melibatkan pelbagai bidang. Antara posisi yang disenaraikan termasuk Specialist, Operations Specialist, Technical Specialist, Technical Expert, Genius, Pro, Creative serta Genius Admin.

Walaubagaimanapun, Apple masih belum memberikan pengesahan bahawa pengambilan pekerja tersebut berkaitan dengan pembukaan Apple Store baru di Putrajaya atau tidak.

Iklan pekerjaan itu juga tidak menyatakan secara jelas tujuan sebenar pengambilan berkenaan, menyebabkan lokasi tersebut masih belum disahkan sebagai tapak cawangan baru Apple.

Jika Di Putrajaya, Mungkin Lokasinya Di IOI Mall?

Walaupun Apple masih belum mendedahkan lokasi sebenar bagi cawangan baharu tersebut, IOI City Mall di Putrajaya antara lokasi yang kini dilihat mempunyai potensi untuk menempatkan Apple Store kedua Malaysia. jika ianya benar

ioi city mall putrajaya

Kedudukan IOI City Mall sebagai salah satu destinasi beli-belah terbesar di negara ini menjadikannya calon yang agak munasabah. Selepas Fasa 2 dibuka pada 2022, pusat beli-belah berkenaan kini menawarkan kira-kira 2.5 juta kaki persegi ruang sewaan.

Saiz tersebut dijangka terus berkembang apabila IOI Properties meneruskan pembangunan Fasa 3. Projek berkenaan dijangka menyumbang tambahan sekitar 1 juta kaki persegi ruang sewaan selepas siap, yang disasarkan pada tahun 2030.

BACA JUGA : Senarai Shopping Mall Dekat Dengan MRT/LRT

Dengan kapasiti yang besar serta kedudukannya sebagai hab komersial utama di Putrajaya, IOI City Mall sememangnya mempunyai ciri yang sesuai untuk menjadi lokasi Apple Store baru.

Namun begitu, perkara ini masih sekadar kemungkinan berdasarkan petunjuk yang ada. Apple dan IOI Properties setakat ini belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi mengenai pembukaan Apple Store di IOI City Mall.

Sejarah Apple Store Pertama Di Malaysia

Pembukaan Apple Store pertama di Malaysia juga memberikan sedikit gambaran mengenai kemungkinan tempoh yang diperlukan untuk cawangan seterusnya beroperasi.

Apple sebelum ini memulakan proses pengambilan kakitangan bagi cawangan pertamanya pada Disember 2022. Selepas kira-kira satu tahun setengah, Apple Store The Exchange TRX akhirnya dibuka kepada orang ramai pada 22 Jun 2024.

Apple Store Malaysia

Berdasarkan tempoh tersebut, proses daripada pengambilan pekerja sehingga pembukaan kedai mengambil masa sekitar 18 bulan. Jika Apple menggunakan tempoh persediaan yang hampir sama untuk cawangan kedua, Apple Store kedua Malaysia ini berkemungkinan hanya akan dibuka sekitar satu setengah hingga dua tahun selepas proses pengambilan pekerja bermula iaitu sekitar awal tahun 2028.

Namun, tempoh sebenar masih bergantung kepada perancangan dan perkembangan projek tersebut kerana Apple belum mengesahkan tarikh pembukaan atau lokasi rasmi cawangan keduanya di Malaysia.

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now