Ramadan tidak hanya berkisar tentang menahan rasa lapar dan dahaga semata-mata. Bulan ini sebenarnya menjadi medan untuk membersihkan hati serta memperbaharui hubungan dengan Allah SWT.
Inilah masa terbaik untuk kita memperbanyakkan doa dan merayu kepada-Nya. Namun begitu, ada dalam kalangan kita yang terlalu fokus dengan persiapan juadah berbuka sehingga terlepas detik-detik penting yang sangat hampir dengan waktu mustajab doa.
Terdapat 5 waktu paling mustajab untuk berddoa yang mana waktu dianggap sebagai tempoh paling berharga untuk bermunajat sepanjang Ramadan. Waktu-waktu ini boleh dijadikan panduan supaya kita tidak mensia-siakan peluang yang hadir hanya setahun sekali.
5 Waktu Mustajab Doa Sepanjang Bulan Ramadan
Berikut merupakan senarai 5 waktu paling terbaik untuk berdoa dan paling mustajab sepanjang bulan Ramadan :
1. Sepertiga Malam Terakhir Ketika Sahur
Waktu sahur bukan sekadar peluang untuk mengisi tenaga sebelum memulakan puasa. Dari sudut spiritual, inilah detik paling utama untuk berdoa.
Pada sepertiga malam terakhir, Allah SWT “turun” ke langit dunia dan menyeru hamba-Nya untuk berdoa “Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan.”
Tips amalan – bangunlah lebih awal sekitar 15 minit sebelum waktu biasa. Gunakan ruang tersebut untuk menunaikan solat sunat tahajud dan berdoa secara khusyuk sebelum menikmati hidangan sahur.
BACA JUGA : Antara Doa Selepas Solat Yang Anda Boleh Amalkan
2. Sepanjang Waktu Berpuasa
Ramai yang tidak menyedari bahawa sepanjang tempoh berpuasa, doa orang yang menahan diri kerana Allah SWT memiliki keistimewaan tersendiri. Doa mereka tidak akan ditolak sehingga tiba waktu berbuka.
Ini bermaksud setiap detik ketika kita menahan lapar dan dahaga sebenarnya membuka ruang luas untuk bermohon.
Tips amalan – Gunakan masa yang ada walaupun ketika sedang memandu, bekerja atau melakukan rutin harian. Perbanyakkan zikir dan panjatkan doa di dalam hati. Amalan yang konsisten walaupun ringkas tetap membawa makna besar.
3. Detik Sebelum Azan Maghrib
Saat hampir berbuka sering kali dipenuhi dengan kesibukan menyediakan makanan atau berada di perjalanan pulang.
Hakikatnya, beberapa minit sebelum azan Maghrib adalah antara waktu paling mustajab untuk berdoa. Ketika tubuh terasa lemah dan hati berada dalam keadaan rendah diri kerana berpuasa, itulah masa yang sangat dekat dengan rahmat Allah SWT.
Tips amalan – Luangkan sekurang-kurangnya 10 minit sebelum berbuka untuk berhenti daripada segala urusan. Duduk dengan tenang, angkat tangan dan sampaikan segala hajat dengan penuh pengharapan.
4. Malam Lailatul Qadar
Dalam sepuluh malam terakhir Ramadan, terdapat satu malam yang nilainya melebihi 1,000 bulan, iaitu Malam Lailatul Qadar.
Ibadah dan doa pada malam ini ganjarannya menyamai lebih 83 tahun beramal. Peluang seperti ini jarang berlaku dan tidak wajar dilepaskan.
Tips amalan – Fokuskan permohonan kepada keampunan dosa serta kesejahteraan dunia dan akhirat. Antara doa yang dianjurkan ialah: “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.” Amalan ini wajar diperbanyakkan terutama pada malam-malam ganjil dalam sepuluh hari terakhir.
5. Hari Jumaat Dalam Ramadan
Hari Jumaat dikenali sebagai penghulu segala hari. Apabila ia berada dalam bulan Ramadan, kelebihannya menjadi lebih istimewa.
Terdapat satu waktu tertentu pada hari Jumaat di mana doa tidak akan ditolak. Kebanyakan ulama berpendapat waktu tersebut berada di antara selepas Asar hingga sebelum Maghrib.
Tips amalan – Manfaatkan hari Jumaat dengan memperbanyakkan selawat, membaca al-Quran serta berdoa dengan bersungguh-sungguh pada waktu yang diyakini sebagai saat mustajab itu.
Penutup
Bulan Ramadan adalah peluang terbaik untuk memperkukuh hubungan dengan Allah SWT. Lima waktu yang disebutkan ini boleh dijadikan fokus utama sepanjang bulan mulia. Jangan biarkan Ramadan berlalu tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dalam berdoa.
Jadikan setiap detik berharga sebagai ruang untuk meninggalkan jejak munajat yang berterusan agar hati kembali lebih dekat kepada Pencipta.











