Jika di Malaysia, apabila tibanya bulan Zulhijjah, umat Islam mula membuat persiapan untuk menyambut Aidiladha.
BACA JUGA : Contoh Ucapan Sempena Hari Raya Aidiladha
Selain kemeriahan Hari Raya Korban, suasana turut dimeriahkan dengan aktiviti penyembelihan haiwan korban, proses melapah daging serta pengagihan kepada golongan yang memerlukan.
Namun sebelum tibanya hari penyembelihan lembu dan kambing itu, terdapat satu hari yang cukup istimewa dalam Islam iaitu Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah.
Hari Arafah
Bagi umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di Mekah, Hari Arafah diisi dengan ibadah wukuf di Padang Arafah.
Pada waktu inilah para jemaah mengambil peluang untuk bermuhasabah, memohon keampunan atas dosa-dosa lalu serta menitipkan pelbagai doa dan harapan kepada Allah SWT.
Namun bagi umat Islam di Malaysia yang tidak berpeluang menunaikan haji pada tahun ini, masih ada kesempatan untuk meraih ganjaran besar menerusi amalan puasa sunat Hari Arafah.
Walau bagaimanapun, setiap kali menjelang 9 Zulhijjah, pasti timbul persoalan mengenai tarikh sebenar untuk berpuasa. Adakah perlu mengikut ketetapan di Mekah atau berdasarkan tarikh di Malaysia?
Perkara inilah yang sering menjadi perbincangan saban tahun. Jadi, mari kita fahami satu persatu mengapa Hari Arafah mempunyai keistimewaan yang begitu besar dalam Islam.
Puasa Hari Arafah
Hari Arafah merupakan antara hari yang memiliki ganjaran sangat besar buat umat Islam. Hanya dengan berpuasa sunat pada hari tersebut, seseorang berpeluang mendapat pengampunan dosa selama dua tahun iaitu setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
“Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)
Namun begitu, penghapusan dosa yang dimaksudkan merujuk kepada dosa-dosa kecil. Bagi dosa besar, seseorang itu tetap perlu bertaubat dengan sebenar-benarnya serta memohon keampunan daripada Allah SWT.
Walaupun begitu, amalan puasa Hari Arafah tetap membawa kelebihan yang besar. Selain menjadi sebab pengampunan dosa, ia juga mampu meningkatkan darjat dan menambah pahala bagi setiap Muslim yang mengamalkannya.
Rasulullah SAW juga diketahui sering mengamalkan puasa pada 9 Zulhijjah kerana besarnya kelebihan yang terdapat pada hari tersebut. Malah, umat Islam turut digalakkan berpuasa sehari sebelumnya iaitu pada 8 Zulhijjah yang dikenali sebagai Hari Tarwiyah.
Amalan ini dilihat sebagai persediaan dan pelengkap sebelum tibanya Hari Arafah, di samping menjadi peluang tambahan untuk memperbanyakkan ibadah serta meraih ganjaran pahala sepanjang bulan Zulhijjah.
Doa Hari Arafah : Tarikh & Waktu Mustajab Ketika Di Malaysia
Selain amalan puasa, Hari Arafah juga merupakan antara waktu terbaik untuk memperbanyakkan doa kerana ia termasuk dalam saat yang sangat mustajab. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada Hari Arafah…” (Riwayat al-Tirmizi)
Pada hari yang penuh keberkatan ini juga, umat Islam digalakkan memperbanyakkan zikir, khususnya lafaz “Lā ilāha illa Allah, wahdahu lā syarīka lah…”
BACA JUGA : Senarai Doa Hari Arafah Yang Anda Boleh Amalkan
Walaupun seseorang itu tidak berada di Padang Arafah bersama para jemaah haji, peluang untuk meraih kelebihan Hari Arafah tetap terbuka luas. Apa yang penting, hari tersebut mestilah bertepatan dengan 9 Zulhijjah mengikut penetapan di negara masing-masing.
Ini bermakna umat Islam di Malaysia tidak perlu menunggu waktu jemaah haji sedang berwukuf di Mekah untuk mula berdoa atau beribadah.
Sebaliknya, apabila sudah masuk 9 Zulhijjah di Malaysia, maka sepanjang hari itu terutama menjelang waktu Asar hingga Maghrib, amat digalakkan untuk memperbanyakkan doa, zikir dan munajat kepada Allah SWT.

Penerangan Penentuan Hari Arafah Di Malaysia
Namun begitu, persoalan mengenai tarikh puasa Hari Arafah sering menjadi perbincangan setiap tahun. Ada yang berpendapat puasa perlu dilakukan mengikut waktu wukuf di Mekah kerana Arab Saudi sudah lebih awal memasuki 9 Zulhijjah.
Hakikatnya, setiap negara mempunyai penentuan anak bulan dan kalendar hijrah yang tersendiri. Perbezaan ini berlaku kerana kedudukan geografi setiap negara tidak sama, sekali gus menyebabkan kemunculan hilal juga berbeza mengikut lokasi.
Malaysia yang berada di sebelah timur dan Arab Saudi di bahagian barat kadangkala menyaksikan anak bulan pada waktu yang tidak serentak. Oleh sebab itu, ada keadaan di mana Arab Saudi sudah memulakan Zulhijjah lebih awal berbanding Malaysia.
Perkara ini turut dijelaskan oleh Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa kawasan yang berjauhan boleh mengikut cerapan anak bulan masing-masing dalam menentukan permulaan bulan hijrah.
Oleh sebab itu, menurut pandangan Mazhab Syafi’i yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia, umat Islam disarankan untuk mengikuti penetapan 9 Zulhijjah yang diumumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa di Malaysia.
Hal ini kerana setiap negara mempunyai perbezaan matla’ iaitu lokasi dan waktu kemunculan anak bulan yang tidak sama. Justeru, penentuan tarikh ibadah seperti puasa Hari Arafah adalah berdasarkan kenampakan hilal di tempat masing-masing.
Kesimpulan
Puasa Hari Arafah dilaksanakan pada 9 Zulhijjah berdasarkan ketetapan rasmi di Malaysia, bukannya mengikut tarikh di Mekah kecuali bagi mereka yang sedang berada di Tanah Suci.
Hari Arafah juga merupakan waktu yang sangat digalakkan untuk berdoa kerana doa pada hari tersebut memiliki kelebihan yang besar. Umat Islam boleh memperbanyakkan doa sepanjang hari sebaik sahaja masuknya 9 Zulhijjah mengikut waktu tempatan.
Bagi yang ingin menambah amalan dan merebut lebih banyak pahala, digalakkan juga untuk berpuasa pada 8 Zulhijjah yang dikenali sebagai Hari Tarwiyah.
Tidak perlu terlalu keliru atau berdebat mengenai penentuan tarikh. Sebaiknya rujuk pengumuman rasmi pihak berkuasa agama di Malaysia agar tidak timbul kekeliruan.
Paling utama, jangan lupa berniat, bangun bersahur dan menunaikan puasa dengan penuh keikhlasan. Semoga amalan puasa Hari Arafah diterima serta segala doa yang dipanjatkan dikabulkan oleh Allah SWT.
Sumber : Dakwah JAKIM












