Pada zaman dahulu, masyarakat tidak mempunyai kemudahan perubatan moden seperti yang dinikmati hari ini. Namun begitu, mereka masih mampu menjalani kehidupan yang sihat dan cergas. Keadaan ini kerana mereka banyak mengamalkan petua sihat dan rawatan tradisional serta menggunakan bahan semula jadi untuk menjaga kesihatan dan kecantikan diri.
Dalam era serba moden sekarang, perubatan moden sememangnya memainkan peranan penting dan tidak boleh dipinggirkan. Walau bagaimanapun, petua tradisional masih boleh dijadikan amalan tambahan terutama untuk penjagaan luaran.
Bagi penjagaan dalaman atau masalah kesihatan yang lebih serius, pemeriksaan di hospital tetap menjadi pilihan terbaik untuk memastikan keadaan kesihatan berada pada tahap yang baik.
Menerusi perkongsian daripada Jelita, berikut dikongsikan 10 petua sihat dan panduan mudah yang boleh dilakukan sendiri di rumah. Selain membantu anda kekal sihat dan tampil menawan, cara ini juga mampu menjimatkan kos tanpa perlu berbelanja besar untuk mendapatkan pelbagai produk di pasaran.
Panduan Dan Petua Bagi Tampil Sihat Dan Menawan
Berikut merupakan 10 petua tradisional yang bermanfaat untuk anda semua tampil dan menawan secara semula jadi
1) Hilangkan Kelemumur

Masalah kelemumur sering mengganggu wanita atas beberapa faktor sepert kulit berminyak tetapi kering, peluh dan haba dari pemakaian tudung dan sebagainya. Guna cara ini untuk melawan masalah kelumumur anda.
- Sediakan 10 helai daun pandan. Bersihkan dan potong kecil
- Kisar daun pandan dengan 2 cawan air hingga benar-benar lumat
- Tapis dan sapukan airnya pada kepala anda
- Gosok perlahan pada kulit selama beberapa minit sebelum dibilas bersih
- Selain menghilangkan kelemumur, ia juga membuat rambut berbaur harum.
2) Lembutkan Bibir Kasar

Kulit bibir menjadi kasar dan kering? Ia mungkin disebabkan pemakanan dan aktiviti harian. Cuba resepi ini untuk membantu mengekalkan kelembapan pada kulit bibir dan mengelakan ia daripada menjadi kering.
BACA JUGA : Khasiat Susu Kambing Untuk Kesihatan
- Sediakan 2 sudu minyak kelapa, satu sudu lilin lebah dan setengah biji lemon
- Campurkan kesemua bahan dalam bekas dan perahkan jus lemon. Kemudian, panaskan di dalam ketuhar sebentar agar adunan sebati dan suam
- Sapukan ia pada bibir anda 2 kali sehari
3) Hilangkan Kutu

Rambut yang berkutu bukan sahaja memalukan, malah boleh membuatkan seseorang berasa tidak selesa dan menggaru kepala sepanjang masa. Cuba tip ini untuk menghilangkan kutu di kepala anda.
- Sediakan beberapa ulas bawang putih
- Kupas dan tumbuk sehingga lumat
- Kemudian campurkannya dengan sedikit minyak masak
- Lumurkan pada keseluruhan rambut hingga kulit kepala
- Balut kepala dengan kain selama 1 jam sebelum dicuci bersih.
4) Atasi Sakit Gigi

Sakit gigi boleh mengganggu aktiviti terutamanya jika mahu berkomunikasi ataupun menikmati hidangan makanan. Cuba cara semula jadi ini dengan tomato. Kandungannya boleh membantu meredakan kesakitan gigi.
- Sediakan sebiji tomato bersaiz kecil
- Layurkan tomato di atas api yang kecil sehingga ia layu
- Apabila tomato sudah suam, letakkan pada gigi yang sakit dan gigit tomato berkenaan
- Diam selama beberapa minit atau hingga rasa sakit mula reda sebelum anda berkumur dengan air suam.
5) Lebatkan Bulu Kening

Alis mata atau bulu kening yang lebat dan cantik memang menjadi kesukaan ramai. Jika anda ingin melebatkan bulu kening anda, cuba ikuti cara mudah ini.
- Sediakan 2 buah keras
- Bakar sehingga kehitaman dan kemudian tumbuk sehingga halus
- Sapukan pada alis mata setiap malam sebelum tidur
BACA JUGA : Boleh Dapatkan Buah Keas Atau Candle Nut DISINI
6) Lentikkan Bulu Mata

Memiliki bulu mata yang lentik sudah tentu menjadi idaman setiap wanita kerana ia boleh menyerlahkan kecantikan mata. Inginkan bulu mata yang lentik semula jadi? Ikuti panduan ini.
- Sediakan daun lidah buaya
- Sebelum tidur, sapukan lendir daun tersebut pada bulu mata anda
- Biarkan hingga keesokan harinya
- Lakukan setiap hari untuk mendapatkan hasil diingini.
7) Kawasan Lutut Hitam

Kaki ialah bahagian tubuh penting yang perlu dijaga, namun jika kawasan lutu menjadi hitam ia pasti akan menjejaskan penampilan mereka yang gemar memakai skirt pendek. Bagi mengatasi masalah ini anda boleh cuba tips ini.
- Sediakan beberapa helai daun sirih
- Letakkan sedikit kapur dan minyak zaitun pada daun sirih
- Kemudian gosokkan pada lutut atau siku selama beberapa minit
- Amalkan selalu hingga bahagian gelap mula pudar.
8) Rekahan Dan Pecah Tumit Kaki

Tumit yang kasar, pecah dan merekah menjejaskan penampilan kaki anda. Bukan itu sahaja, kesan pecahan semakin merebak dan membuatkan kulit menjadi kering dan menggelupas. Ikuti panduan yang anda boleh ikuti ini.
- Tumbuk beberapa ulas bawang putih
- Campurkan dengan sedikit perahan limau nipis
- Sapu dan gosokkan ia pada tumit kaki.
9) Hilangkan Siku Hitam Dan Kasar

Siku hitam dan kasar boleh menghilangkan keyakinan wanita dan membuatkan mereka malu untuk mengenakan baju berlengan pendek. Lemon boleh membantu dalam perkara ini. Ia bertindak sebagai agen pengelupasan yang membantu menghilangkan lapisan luar kulit kasar pada siku.
- Sediakan satu lemon
- Potong menjadi 2 bahagian
- Masukkan siku anda ke dalam isi lemon itu. Biarkan selama 10 minit
- Kemudian lakukan perkara sama pada siku sebelah lagi
- Cuci bersih siku anda dan sapukan sedikit pelembap
- Ulang cara ini selalu untuk mendapatkan hasil yang diinginkan
10) Hilangkan Hitam Bawah Lengan

Kawasan bawah lengan hitam sudah tentu memalukan apa lagi untuk bergaya dengan baju tanpa lengan. Cuba cara di bawah ini untuk mencerahkan dan memudarkan kesan hitam di kawasan berkenaan.
- Sediakan sebiji air perahan limau nipis
- Campurkan dengan kapur sirih
- Sapukan ramuan tadi pada bawah lengan setiap kali selepas mandi setiap hari
- Ia bukan sahaja membantu mencerahkan malah juga menghilangkan bau pada bahagian tersebut.
Harap perkongsian petua sihat secara tradisional ini bermanfaat untuk anda semua.
sumber : majalahjelita









