Perancangan awal sebelum kahwin sangat penting bagi pasangan yang akan melakukan majlis supaya kesemuanya akan berjalan lancar tanpa tekanan pada saat-saat akhir
Perkara ini perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum majlis berlangsung, bakal pengantin sebaiknya sudah menyelesaikan perkara-perkara penting yang melibatkan vendor, dokumen, kewangan dan kehidupan selepas berkahwin.
Berikut ialah 10 persediaan yang perlu diberi perhatian.
1. Tempah Vendor Utama
Dalam tempoh 3 bulan sebelum kahwin, pastikan semua vendor utama telah disahkan dan bayaran deposit sudah dibuat.
Antara vendor yang biasanya perlu ditempah lebih awal ialah pelamin, katering, jurugambar dan videografer, jurusolek (MUA), penyedia kanopi serta kerusi meja, dan juga emcee atau PA system.
BACA JUGA : Senarai Lagu Sesuai Untuk Majlis Kahwin Dan Wedding
Langkah ini mengelakkan tarikh pilihan anda diambil oleh pasangan lain.
2. Selesaikan Fitting Baju Pengantin
Seterusnya jangan tunggu sehingga minggu terakhir untuk mencuba baju pengantin. Lakukan fitting pertama lebih awal supaya masih ada masa untuk membuat ubah suai saiz jika diperlukan.
BACA JUGA : Kenapa Baju Nikah Warna Putih?
Pada masa yang sama, padankan baju dengan kasut serta aksesori, selain mengesahkan pilihan tudung dan gaya solekan agar semuanya seragam dan serasi pada hari majlis perkahwinan nanti.
3. Sediakan Senarai Tetamu
Senarai tetamu sangat penting untuk mengelakkan pembaziran dan membantu menganggarkan kos majlis. Bahagikan senarai kepada keluarga kedua-dua belah pihak, rakan-rakan dan tetamu VIP jika ada. Selepas itu, buat anggaran jumlah kehadiran supaya tempahan makanan dan tempat duduk lebih tepat.
4. Edarkan Kad Jemputan
Masa terbaik untuk mengedarkan kad jemputan ialah sekitar satu hingga dua bulan sebelum majlis. Anda boleh memilih kad fizikal, kad digital (e-card) atau jemputan melalui WhatsApp. Hanya pilihan, anda juga boleh membuat RSVP supaya anda mengetahui jumlah sebenar kehadiran.
BACA JUGA : Senarai Hadiah Kahwin Untuk Pasangat Penganting Baru Harga Bawah RM100
5. Hadiri Kursus Kahwin
Bagi pasangan Muslim, kursus kahwin merupakan antara syarat penting sebelum bernikah. Semak tarikh kursus lebih awal kerana tempat biasanya terhad. Selepas tamat kursus, simpan sijil dengan baik dan pastikan semua dokumen berkaitan disediakan untuk urusan permohonan nikah.
Untuk kursus kahwin, anda boleh semak dan daftar menerusi portal SSPIM di https://www.sppim.gov.my/v2/online/pra-kahwin
6. Lengkapkan Dokumen Nikah
Jangan bertangguh menguruskan dokumen kerana sesetengah proses mengambil masa. Antara dokumen yang lazim diperlukan ialah borang nikah, salinan kad pengenalan, keputusan ujian HIV dan surat kebenaran nikah jika berkenaan. Semak semula keperluan mengikut negeri masing-masing.
7. Buat Checklist Hantaran
Sediakan senarai barang hantaran lebih awal supaya anda tidak perlu membeli secara tergesa-gesa. Tentukan tema warna, jumlah dulang dan senaraikan setiap barang yang ingin diberikan. Jika memerlukan gubahan khas, tempah lebih awal bagi mengelakkan kesuntukan masa.
8. Sediakan Dana Kecemasan
Ramai pasangan hanya memberi fokus kepada bajet majlis sehingga terlupa menyediakan simpanan kecemasan.
Sebaiknya asingkan sekurang-kurangnya 10% hingga 20% daripada bajet keseluruhan untuk menampung kos tambahan yang tidak dijangka. Cara ini juga membantu mengelakkan beban hutang selepas berkahwin.
9. Rancang Kehidupan Selepas Kahwin
Perkahwinan bukan sekadar majlis sehari, tetapi permulaan kehidupan baharu. Oleh itu, pastikan tempat tinggal telah disediakan bersama keperluan asas seperti perabot, kelengkapan dapur serta urusan bil utiliti dan internet. Persediaan ini memudahkan proses berpindah selepas majlis.
10. Bincang Perancangan Rumah Tangga Bersama
Sebelum bernikah, luangkan masa berbincang secara terbuka tentang pengurusan kewangan, simpanan bersama, perancangan anak dan pembahagian tugas di rumah.
Selain itu, bincangkan juga perlindungan takaful dan medical card bagi memastikan kedua-dua pihak mempunyai perlindungan kewangan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Siapkan Perkara Wajib Sebelum Kahwin Lebih Awal
Dengan menyelesaikan kesemua persediaan ini sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum nikah, anda dapat mengurangkan tekanan, mengelakkan kelam-kabut dan memberi lebih banyak ruang untuk menikmati detik indah menjelang hari bahagia.
Perancangan yang teratur bukan sahaja memastikan majlis berjalan lancar, malah menjadi asas yang baik untuk memulakan kehidupan berumah tangga.












