Permohonan Program Dermasiswa B40 (DB40) JPA 2026 kini dibuka bermula 3 Ogos hingga 16 Ogos 2026. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi ePermohonan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di pautan https://penajaan.jpa.gov.my/.
Program ini menawarkan tajaan penuh dalam bentuk dermasiswa dan bukannya pinjaman kepada pelajar lepasan SPM 2025 yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Bantuan tersebut bertujuan memberi peluang kepada golongan ini untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma di Universiti Awam (UA), Politeknik serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terpilih.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pelaksanaan Program Dermasiswa B40 merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada keluarga B40 melalui pembiayaan pendidikan secara dermasiswa.
Tajaan di bawah program ini meliputi beberapa bidang pengajian yang telah ditetapkan, antaranya Kejuruteraan dan Teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Sains Sosial dan Sastera, serta Seni Bina.

Bentuk Tajaan Yang Diperoleh
Pemohon yang berjaya menerima tawaran Program Dermasiswa B40 (DB40) akan menikmati beberapa bentuk pembiayaan sepanjang tempoh pengajian. Yuran pengajian akan ditanggung sepenuhnya oleh JPA.
Selain itu, penerima dermasiswa turut diberikan Elaun Sara Hidup sebanyak RM700 sebulan bagi membantu menampung perbelanjaan harian semasa mengikuti pengajian.
Bantuan lain yang disediakan termasuk Elaun Buku dan Perkakas yang disalurkan sekali setiap tahun untuk kegunaan membeli bahan rujukan akademik serta kelengkapan pembelajaran seperti alat tulis.
Bagi pelajar yang perlu menyiapkan tesis atau projek tahun akhir mengikut keperluan program pengajian, JPA turut menyediakan Elaun Kertas Projek sebagai bantuan khas untuk menampung kos berkaitan.
Syarat Permohonan
Calon yang ingin memohon Program Dermasiswa B40 (DB40) JPA perlu memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan. Antaranya ialah :
- Mestilah warganegara Malaysia
- Mengambil peperiksaan SPM 2025 buat kali pertama serta berumur tidak melebihi 19 tahun pada 31 Disember tahun peperiksaan. Bagi pelajar aliran peralihan, had umur yang dibenarkan ialah di bawah 20 tahun.
- Pemohon hendaklah berada dalam keadaan kesihatan yang baik serta tidak menghidap penyakit kronik atau penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kelancaran pengajian.
- Pendapatan per kapita keluarga juga mestilah berada dalam kategori B40, iaitu tidak melebihi RM5,249 sebulan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menetapkan bahawa pemohon dan ibu bapa tidak boleh tersenarai dalam senarai hitam JPA serta tidak sedang berdepan sebarang tindakan perundangan yang melibatkan jabatan berkenaan.
Cara Mohon Program Dermasiswa B40 2026
Orang ramai yang memenuhi syarat dan berminat menyertai Program Dermasiswa B40 (DB40) boleh mengemukakan permohonan bermula 3 Ogos hingga 16 Ogos 2026 melalui portal rasmi di eSILA JPA dengan klik pautan dibawah:
Sebelum membuat permohonan, calon perlu mendaftarkan akaun terlebih dahulu. Setelah proses pendaftaran akaun selesai, barulah permohonan bagi Program Dermasiswa B40 2026 boleh dihantar secara dalam talian.
Sekiranya memerlukan maklumat lanjut atau menghadapi sebarang masalah berkaitan permohonan, anda boleh menghubungi JPA di talian 03-8000 8000 atau menghantar e-mel kepada dermasiswa2026@jpa.gov.my pada waktu operasi hari bekerja.











