Suatu ketika dahulu, permainan tradisional Melayu kanak-kanak menjadi pilihan utama dan sangat diminati, sebelum teknologi moden serta penggunaan gajet mula mengambil alih perhatian dalam kehidupan seharian.
Apabila mengimbau semula memori sewaktu kecil, kebanyakan daripada kita pasti teringat saat-saat berkumpul pada waktu petang di kawasan lapang seperti padang, halaman rumah atau taman permainan untuk mengisi masa dengan pelbagai aktiviti tradisional bersama kawan-kawan.
Permainan Tradisional Melayu Kanak-Kanak
Permainan tradisional Melayu Malaysia terutamanya untuk kanak-kanak merupakan sebahagian penting daripada warisan budaya yang membentuk identiti masyarakat sejak dahulu lagi.
BACA JUGA : Senarai Pakaian Tradisional Bagi Setiap Negeri Di Malaysia
Walaupun dunia kini dipenuhi permainan digital, permainan tradisional tetap mempunyai nilai tersendiri kerana mampu mengasah kemahiran fizikal, mental dan sosial kanak-kanak.
Senarai 10 Permainan Tradisional Melayu Kanak-Kanak Yang Popular
Disini disenaraikan 10 permainan tradisional Melayu kanak-kanak yang popular ketika dahulu beserta penerangan ringkas:
1. Congkak

Congkak ialah permainan tradisional yang menggunakan papan berlubang dan buah congkak seperti guli atau biji getah. Permainan ini biasanya dimainkan oleh dua orang dan memerlukan strategi serta kemahiran mengira untuk menang.
Setiap pemain perlu menggerakkan buah atau guli ke dalam lubang secara sistematik untuk mengumpul sebanyak mungkin di “rumah” masing-masing.
Congkak bukan sahaja menghiburkan, malah membantu meningkatkan kemahiran matematik asas, fokus serta pemikiran strategik dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
2. Konda Kondi

Konda kondi merupakan permainan tradisional yang menggunakan dua batang kayu, iaitu satu pendek (konda) dan satu panjang (kondi). Pemain akan melambung kayu pendek ke udara dan memukulnya sejauh mungkin menggunakan kayu panjang.
Permainan ini memerlukan ketepatan, kekuatan dan koordinasi tangan dan mata yang baik. Biasanya dimainkan secara berkumpulan, pihak lawan akan cuba menangkap kayu tersebut atau mengukur jarak pukulan.
Konda kondi sering dianggap sebagai versi tradisional kepada permainan moden seperti baseball atau kriket.
3. Teng-Teng

Teng-teng ialah permainan lompat satu kaki yang dimainkan di atas petak yang dilukis di tanah. Pemain perlu membaling penanda seperti batu kecil ke dalam petak tertentu dan melompat mengikut turutan tanpa menyentuh garisan.
Permainan ini memerlukan keseimbangan, ketangkasan dan kawalan badan yang baik. Teng-teng sangat popular dalam kalangan kanak-kanak perempuan suatu ketika dahulu dan sering dimainkan di kawasan lapang.
4. Main Guli

Main guli melibatkan penggunaan bola kecil yang diperbuat daripada kaca yang dipanggil guli.
Permainan ini biasanya dimainkan di atas tanah dengan melukis bulatan sebagai kawasan permainan. Pemain perlu menggunakan teknik jari untuk menembak guli lawan keluar dari bulatan. Ia memerlukan ketepatan, strategi dan kawalan kekuatan jari.
Selain menyeronokkan, permainan ini juga mengajar kesabaran serta kemahiran membuat keputusan. Main guli pernah menjadi permainan kegemaran kanak-kanak lelaki di kampung dan bandar.
5. Main Lidi

Main lidi menggunakan batang lidi yang dijatuhkan secara rawak di atas permukaan rata. Pemain perlu mengambil satu lidi pada satu masa tanpa menggerakkan lidi lain. Jika lidi lain bergerak, giliran pemain akan tamat.
Permainan ini nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan ketelitian, fokus dan kawalan tangan yang tinggi. Main lidi sesuai dimainkan secara santai bersama rakan atau keluarga dan membantu melatih kesabaran serta koordinasi motor halus dalam kalangan kanak-kanak.
Anda masih boleh dapatkan lidi berwarna ini secara online DISINI. Jadi lepas ni, boleh la main bersama kawan-kawan.
6. Lompat Getah

Lompat getah yang juga disebut sebagai lompat tali atau ‘zero point’ ialah permainan tradisional yang menggunakan getah gelang yang disambung menjadi tali panjang. Dua orang akan memegang hujung getah, manakala pemain lain perlu melompat melepasi getah tersebut. Ketinggian getah akan meningkat secara berperingkat, menjadikan permainan semakin mencabar.
Permainan ini memerlukan kelincahan, kekuatan kaki dan teknik lompatan yang baik. Lompat getah sangat popular untuk kanak-kanak perempuan dan sering dimainkan di sekolah dan kawasan perumahan kerana mudah dimainkan tanpa memerlukan peralatan mahal.
7. Polis Sentri (Polis & Thief)

Ianya merupakan permainan kejar-kejar yang melibatkan dua kumpulan iaitu polis dan pencuri. Polis bertanggungjawab menangkap pencuri, manakala pencuri perlu melarikan diri dan mengelak daripada ditangkap.
Selepas selesai ditangkap kesemua kumpulan pencuri, mereka akan bertukar tugas pula. Yang polis akan menjadi pencuri dan sebaliknya. Sebelum bermula, akan ada sebutan iaitu ‘Polis Sentri Wantu Jaga, Polis Mati Pencuri Jaga‘.
Permainan ini biasanya dimainkan di kawasan luas dan memerlukan kerjasama berpasukan serta strategi. Ia membantu meningkatkan kecergasan fizikal, kepantasan dan kemahiran komunikasi.
8. Galah Panjang

Galah panjang dimainkan secara berkumpulan di atas gelanggang yang dilukis dengan beberapa garisan melintang. Satu pasukan bertindak sebagai penghalang, manakala pasukan lain perlu melepasi garisan tanpa disentuh. Jika disentuh, anda akan dikeluarkan.
Permainan ini memerlukan strategi, kepantasan dan koordinasi pasukan yang baik. Setiap pemain perlu bijak membaca pergerakan lawan untuk menang. Galah panjang sering dimainkan di sekolah dan kawasan lapang kerana dapat menggalakkan aktiviti fizikal serta semangat berpasukan.
9. Batu Seremban

Batu seremban ialah permainan tradisional yang menggunakan lima biji batu kecil atau objek kain berisi pasir. Pemain perlu melambung satu batu ke udara sambil mengambil batu lain di lantai sebelum menangkap semula batu yang dilambung.
Permainan ini mempunyai beberapa peringkat yang semakin mencabar. Ia memerlukan koordinasi tangan yang baik, fokus tinggi dan ketangkasan. Batu seremban sangat popular dalam kalangan kanak-kanak perempuan dan sering dimainkan secara santai.
10. Lompat Tikus

Lompat tikus ialah permainan berkumpulan yang melibatkan lompatan melepasi halangan yang dibentuk oleh pemain lain.
Halangan biasanya menggunakan kaki atau tangan dan akan dinaikkan tahap ketinggiannya secara berperingkat. Pemain perlu melompat tanpa menyentuh halangan tersebut. Jika gagal, mereka akan bertukar peranan.
Permainan ini membantu meningkatkan kekuatan fizikal, keseimbangan dan keyakinan diri. Lompat tikus juga menyeronokkan kerana unsur cabaran yang semakin meningkat setiap pusingan.
Kesimpulan
Sebenarnya banyak lagi permainan tradisional yang popular dimainkan oleh kanak-kanak pada waktu dahulu.
Selain daripada senarai diatas ada juga permainan seperti Pukul Berapa Datuk Harimau, Main Layang-Layang, Tarik Upih, Tudung Oren (Ceper), Gasing dan macam-macam lagi.
Semua permainan ini melibatkan fizikal yang mana selain daripada menghiburkan, ianya juga aktiviti sihat. Meskipun ianya permainan tradisional, tapi ada sebahagian permainan masih dimainkan sehingga zaman modern sekarang.













1 thought on “Senarai 10 Permainan Tradisional Melayu Kanak-Kanak Yang Popular”
Comments are closed.