Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan bahawa dakwaan dimana semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima bayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 sempena Hari Kebangsaan adalah tidak benar.
Penjelasan itu dibuat susulan penularan sebuah poster di media sosial yang mendakwa bantuan berkenaan akan diberikan kepada semua individu yang layak.
BACA JUGA : Cara Semak Kelayakan SARA One-Off RM100
Menurut MOF, poster tersebut adalah palsu dan kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi seperti yang didakwa.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai kandungan berkenaan atau menyebarkannya kepada pihak lain kerana ia merupakan maklumat yang tidak sahih dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kenyataannya, MOF menegaskan bahawa tiada sebarang pengumuman rasmi pernah dibuat berhubung pemberian SARA RM100 secara one-off seperti yang dipaparkan dalam poster tular tersebut.
Pada masa yang sama, kementerian menggesa orang ramai agar sentiasa merujuk kepada saluran komunikasi rasmi MOF bagi mendapatkan maklumat yang tepat, khususnya melibatkan bantuan dan inisiatif kerajaan, sebelum berkongsi sebarang berita kepada orang lain.
Sumber : Facebook MOF











