Pasport Malaysia yang diiktiraf sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia bakal menerima pembaharuan pada tahun 2026.
Dokumen perjalanan berwarna merah gelap itu akan dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan, meningkat dengan ketara berbanding 49 ciri yang digunakan pada versi semasa. Seperti yang dilaporkan, pelancaran pasport baru tersebut akan dibuat bermula pada 1 Jun 2026.
Walaupun pasport generasi baru ini hadir dengan pelbagai penambahbaikan dan teknologi keselamatan yang lebih canggih, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, menjelaskan bahawa orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk menukar pasport sedia ada selagi dokumen tersebut masih sah digunakan.
BACA JUGA : Senarai Cawangan JPN Seluruh Malaysia
Berikut merupakan ringkasan maklumat yang diketahui setakat ini mengenai pasport baru Malaysia yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
Di Mana Anda Boleh Memohon Pasport Malaysia Versi Baru Ini?
Jabatan Imigresen Malaysia merancang pelaksanaan pasport baru ini secara berperingkat. Pada fasa awal, hanya empat lokasi terpilih akan menawarkan pengeluaran pasport versi terkini tersebut iaitu :
- Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya
- Pejabat Imigresen Kuala Lumpur
- Pejabat Pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju
- Pejabat Imigresen Shah Alam.
Selepas pelaksanaan awal selesai, pengeluaran pasport baru ini akan diperluaskan ke seluruh negara. Apabila proses itu selesai, orang ramai boleh memperbaharui pasport mereka di pejabat imigresen yang berdekatan dengan kawasan kediaman masing-masing.
Apakah Ciri Baharu Yang Diperkenalkan?
Setakat ini, senarai penuh ciri keselamatan yang akan digunakan pada pasport Malaysia versi baru ini masih belum didedahkan kepada umum. Namun begitu, beberapa penambahbaikan telah diketahui akan menjadi sebahagian daripada dokumen perjalanan tersebut.
Antara ciri yang bakal diperkenalkan termasuk penggunaan hologram yang lebih banyak, cetakan ultraviolet (UV), elemen visual tersembunyi, benang keselamatan khas pada jahitan pasport serta pelbagai teknologi forensik yang direka khusus untuk tujuan keselamatan.
Kesemua penambahbaikan ini bertujuan meningkatkan perlindungan pasport daripada sebarang usaha pemalsuan, pengubahsuaian tanpa kebenaran dan penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Perkara Penting Yang Perlu Diketahui Sebelum Memperbaharui Pasport
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, pemegang pasport tidak perlu tergesa-gesa untuk mendapatkan pasport baru sekiranya pasport sedia ada masih sah dan mempunyai tempoh sah laku melebihi enam bulan.
Langkah ini dapat membantu melancarkan proses permohonan bagi individu yang benar-benar memerlukan pembaharuan atau pengeluaran pasport baharu dalam masa terdekat.
Pasport yang digunakan sekarang masih boleh digunakan seperti biasa selagi belum tamat tempoh. Oleh itu, orang ramai disarankan untuk terus menggunakan pasport masing-masing sehingga hampir tarikh luput sebelum membuat pembaharuan.
Sumber : Berita Harian











