Jepun mencatatkan suhu melebihi 40°C selepas Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memperkenalkan istilah baharu “kokushobi” pada April lalu.
Istilah ini digunakan bagi menggambarkan cuaca panas yang melampau iaitu lebih 40 darjah celsius serta memberi amaran kepada orang ramai mengenai bahaya gelombang haba yang kini semakin kerap berlaku.
Bandar Gujo dan Tajimi di wilayah Gifu serta Toyota di wilayah Aichi merekodkan suhu sekitar 40°C. Gujo dan Toyota turut mencatat bacaan tertinggi pernah direkodkan di stesen cuaca masing-masing.
Daripada 914 stesen cuaca di seluruh Jepun, sebanyak 278 lokasi merekodkan suhu melebihi 35°C. Sebelum ini, suhu pada tahap tersebut dikenali sebagai “moshobi”, manakala suhu melebihi 25°C dikategorikan sebagai “natsubi” dan lebih 30°C sebagai “manatsubi”.
Gelombang Haba Kini Semakin Bahaya
Gelombang haba turut meragut nyawa apabila dua lelaki dilaporkan meninggal dunia akibat dipercayai terkena strok haba. Statistik Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana Jepun menunjukkan lebih 2,000 kematian akibat strok haba direkodkan sepanjang 2024, manakala lebih 100,000 individu dimasukkan ke hospital antara Mei hingga September.
Kesan cuaca panas turut dirasai sektor pertanian apabila hasil dan kualiti beras semakin terjejas. Ramai petani kini beralih kepada varieti padi yang lebih tahan panas, malah ada yang mula menanam tanaman seperti avokado.
Dalam sektor sukan, kejohanan besbol sekolah menengah kebangsaan Koshien kini diadakan pada sesi pagi dan petang bagi mengurangkan risiko strok haba.
Di pejabat pula, pekerja digalakkan memakai pakaian lebih santai menerusi inisiatif Cool Biz bagi mengurangkan penggunaan penghawa dingin dan menjimatkan tenaga.
Menurut JMA, purata suhu musim panas di Jepun meningkat kira-kira 1.3°C sepanjang 100 tahun lalu. Tahun 2025 menjadi antara musim panas paling ekstrem apabila Isesaki di wilayah Gunma mencatat suhu tertinggi dalam sejarah negara itu, iaitu 41.8°C.
Sumber : theguardian.com












