Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih berhampiran Tapah pada 24 Mei lalu, akhirnya ditemui dalam keadaan selamat selepas hampir dua minggu berada di kawasan hutan tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon, berkata Jaslinda ditemui oleh seorang penduduk kampung, Nazri Bah Eng, kira-kira jam 3 petang.
Menurut beliau, Nazri memaklumkan penemuan itu kepada anak saudaranya yang berada di Johor sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata Jaslinda berada dalam keadaan selamat dan kini ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara pihak berkaitan menyelaraskan proses seterusnya.
Jaslinda Pernah Hilang Selama 13 Hari
Jaslinda merupakan sebahagian daripada kumpulan pendaki yang terdiri daripada 14 peserta bersama dua Pemandu Gunung Hutan Jabatan Perhutanan yang memulakan ekspedisi Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih dan Kuala Woh.
Difahamkan, beliau serta seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan ketika pendakian berlangsung sehingga mengambil keputusan untuk berhenti.
Namun begitu, Jaslinda kemudiannya meneruskan perjalanan ke arah puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu dan seterusnya dilaporkan hilang.
Penemuannya hari ini menamatkan usaha pencarian yang dijalankan hampir dua minggu dengan hasil yang positif.
Sumber : BERNAMA











