12 Ilmu dan Petua Orang Dulu Yang Boleh Diamalkan Sebelum Masuk Hutan

By Mein Amorim

Published On:

Follow Us
petua orang dulu sebelum masuk hutan

Pernah tak anda dengar kisah pendaki yang masuk hutan dengan penuh yakin, tetapi tiba-tiba hilang arah walaupun laluan yang dilalui sebenarnya tidak jauh?

Ada juga yang merasakan seolah-olah berpusing-pusing di kawasan yang sama, sedangkan GPS masih menunjukkan mereka berada di trek yang betul.

Dalam dunia hiking dan pendakian gunung, kita sememangnya bergantung kepada ilmu navigasi, kompas, GPS, peta dan latihan keselamatan.

BACA JUGA : Senarai Jam Dengan GPS Terbaik Di Malaysia

Namun begitu, masyarakat Melayu sejak dahulu turut mengamalkan pelbagai petua dan adab ketika memasuki hutan sebagai satu bentuk ikhtiar tambahan.

Ramai orang lama percaya bahawa sesetengah kejadian sesat atau “disorok” berlaku apabila seseorang terlupa menjaga adab ketika berada di kawasan hutan.

Sama ada anda mempercayainya atau tidak, petua-petua orang dulu ini masih diamalkan oleh sebahagian pendaki, pencari hasil hutan dan orang kampung sehingga hari ini.

Berikut ialah 12 ilmu dan petua orang dulu yang boleh diamalkan sebelum masuk hutan bagi mengelakkan diri daripada disorok makhluk ghaib atau hijab pandangan ditutup.

Kenapa Petua Orang Dulu Masih Relevan?

Walaupun teknologi semakin canggih, hutan tetap merupakan kawasan yang mencabar. Faktor keletihan, panik, dehidrasi dan hilang fokus boleh menyebabkan seseorang tersalah arah.

Atas sebab itu, ramai berpendapat bahawa selain menggunakan ilmu sains dan peralatan moden, tidak salah untuk mengamalkan petua lama sebagai satu bentuk persediaan mental, disiplin diri dan ikhtiar tambahan ketika berada di dalam hutan.

1. Minta Izin Di Sempadan Hutan

Petua pertama yang sering diamalkan ialah berhenti seketika sebelum memasuki kawasan hutan. Orang dahulu akan memberi salam atau meminta izin secara baik sebelum melangkah masuk. Mereka juga akan melangkah menggunakan kaki kanan sambil menahan nafas seketika.

2. Jaga Niat Dan Jangan Celupar

Jaga niat sebelum masuk hutan dan elakkan bercakap besar, mencabar perkara yang tidak diketahui atau mengeluarkan kata-kata yang boleh dianggap tidak sopan terhadap alam sekitar.

3. Laungkan Azan Atau Takbir Jika Mula Sesat

Jika tiba-tiba terasa keliru atau seperti berpusing-pusing di kawasan yang sama, petua lama menyarankan supaya melaungkan azan atau takbir dengan kuat bagi yang beragama Islam. Bagi bukan Islam pula, mereka boleh memanggil rakan-rakan dengan tenang tetapi tegas.

Petua ini dipercayai dapat membantu memecahkan gangguan yang menyebabkan seseorang hilang arah.

4. Duduk Dan Rehat, Jangan Lawan

Ramai pendaki yang sesat menjadi semakin panik lalu terus berjalan tanpa arah yang jelas. Orang tua-tua berpesan supaya berhenti seketika jika mula berasa pening, keliru atau tidak pasti dengan kedudukan sendiri.

Duduk di tempat yang selamat, tarik nafas dan tenangkan fikiran sebelum membuat keputusan seterusnya. Kadangkala tindakan yang paling bijak bukanlah terus bergerak, tetapi berhenti di satu tempat.

5. Terbalikkan Baju

Ini antara petua paling popular dalam kalangan pendaki. Jika dipercayai sedang disorok atau mengalami gangguan pandangan, seseorang disarankan membuka baju dan memakainya semula secara terbalik.

Bahagian dalam baju diletakkan di luar.

Menurut kepercayaan masyarakat dahulu, cara ini boleh membantu memecahkan ‘pandangan’ ruang yang menyebabkan seseorang gagal mencari jalan keluar.

6. Jangan Sahut Suara Misteri

Ketika berada di dalam hutan, ada kalanya seseorang mendengar namanya dipanggil dari arah yang tidak pasti.

Petua orang lama menegaskan supaya tidak terus menyahut atau pergi ke arah suara tersebut jika tidak dapat melihat individu yang memanggil secara fizikal.

Jika benar-benar dalam operasi mencari dan menyelamat, pastikan anda nampak pasukan penyelamat atau rakan sebelum bergerak ke arah mereka.

7. Pandang Melalui Celah Kangkang

Petua ini mungkin kedengaran pelik kepada orang sekarang.

Jika seseorang merasakan jalan yang dilalui seperti tidak berpenghujung atau suasana sekeliling terasa ganjil, dia disarankan tunduk dan melihat ke belakang melalui celah kangkang.

Menurut kepercayaan lama, tindakan tersebut boleh membantu mengubah persepsi ruang dan menghilangkan ilusi yang mengganggu pandangan.

8. Basuh Muka Dengan Air Embun Atau Air Bersih

Ketika panik atau keliru, cuba basuh muka menggunakan air bersih yang ada. Sambil basuh muka, sambil berdoa untuk minta ‘diterangkan’ pandangan dan kurang panik.

Selain dianggap petua tradisional, ia juga boleh membantu menyegarkan tubuh badan yang keletihan.

9. Hentak Kaki Ke Tanah

Sebelum meneruskan perjalanan, hentakkan kaki kanan ke tanah sebanyak tiga kali. Kemudian tanamkan niat yang jelas bahawa anda hanya menumpang lalu dan tidak berniat mengganggu sesiapa.

10. Ikat Ranting Pokok Sebagai Tanda

Jika berasa tidak selesa atau seperti diekori sesuatu yang tidak dapat dijelaskan, orang dahulu akan melenturkan ranting hidup dan mengikatnya secara longgar menggunakan rumput.

BACA JUGA : Sejarah Pokok Getah Di Malaysia Yang Dibawa Pada 1877

Mereka akan menetapkan niat bahawa tempat tersebut menjadi tanda untuk mereka kembali semula jika perlu.

11. Gigit Ranting Kecil Di Bibir

Petua orang dulu seterusnya sebelum masuk hutang ialah menggigit ranting kecil pada bibir ketika berjalan.

Menurut kepercayaan orang lama, apabila mulut sibuk mengunyah, seseorang akan kurang bercakap perkara yang tidak perlu atau menegur sesuatu yang pelik di dalam hutan.

Secara tidak langsung, ia membantu menjaga adab dan pertuturan sepanjang pendakian.

12. Bakar Kulit Bawang Atau Buat Garisan Arang

Bagi mereka yang berkhemah di dalam hutan, terdapat petua lama yang menyarankan pembakaran kulit bawang atau membuat garisan bulatan menggunakan arang kayu mati di sekeliling kawasan perkhemahan.

Tujuannya adalah sebagai satu bentuk ikhtiar perlindungan dan penanda kawasan perkhemahan. Walaupun tidak mempunyai penjelasan saintifik, petua ini masih diamalkan oleh sesetengah individu sehingga hari ini.

Jangan Abaikan Ilmu Sains Dan Keselamatan Hutan

Walaupun petua-petua ini popular dalam masyarakat Melayu, pendaki tidak seharusnya bergantung kepada petua tradisional semata-mata. Pastikan anda sentiasa:

  • Membawa GPS atau kompas
  • Memaklumkan lokasi kepada keluarga atau rakan
  • Mendaki secara berkumpulan
  • Membawa bekalan air dan makanan mencukupi
  • Mengikuti laluan yang ditetapkan
  • Menyertai pendakian bersama malim jika perlu
  • Mengetahui prosedur kecemasan ketika sesat

Petua orang dulu boleh dijadikan sebagai ikhtiar tambahan, tetapi aspek keselamatan moden tetap perlu diutamakan.

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now