Perlawanan akhir Piala Dunia 2026 yang menemukan Sepanyol dan Argentina di Dataran Merdeka, awal pagi tadi, berjaya menarik kehadiran ribuan penyokong untuk bersama-sama menyaksikan aksi penuh mendebarkan itu.
Suasana di lokasi dipenuhi sorakan dan kegembiraan apabila orang ramai meraikan pesta bola sepak tersebut. Namun, selepas acara berakhir dan para pengunjung mula bersurai, kawasan bersejarah itu didapati dipenuhi pelbagai jenis sampah yang ditinggalkan.
BACA JUGA : Jadual & Keputusan Semua Aksi Piala Dunia FIFA 2026
Menerusi satu hantaran di Facebook, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan sampah akan dilaksanakan bagi mengutip sisa buangan yang memenuhi kawasan Dataran Merdeka.
DBKL turut mengingatkan bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan ibu negara bukan seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu petugas pembersihan setiap kali sesuatu acara selesai.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi awam, malah merupakan simbol sejarah dan kebanggaan negara. Keadaan kawasan tersebut selepas sesuatu acara berlangsung juga mencerminkan sejauh mana masyarakat menghargai warisan berkenaan.
Dalam masa yang sama, DBKL menjelaskan bahawa orang ramai bebas menikmati sambutan dan bersorak bagi meraikan sesuatu acara, namun kegembiraan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengabaikan kebersihan ruang yang dikongsi bersama.
Tambah DBKL lagi, sesebuah bandar tidak hanya dinilai berdasarkan kemeriahan kehadiran pengunjung, sebaliknya turut diukur melalui keadaan persekitarannya selepas mereka meninggalkan lokasi.
Selain itu, DBKL uga menyeru orang ramai supaya bersama-sama memelihara kebersihan Kuala Lumpur dengan menganggap bandar raya tersebut sebagai rumah sendiri yang perlu sentiasa dijaga.
Sumber : Facebook DBKL











