Contoh Soalan Akad Nikah Yang Biasa Ditanya Tok Kadi

By Mein Amorim

Published On:

Follow Us
contoh soalan akad nikah

Dalam sesebuah perkahwinan, akad nikah menjadi antara perkara penting yang perlu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada rukun nikah. Tapi apa pula soalan Akad Nikah?

Bagi bakal pengantin lelaki, sesi sebelum akad nikah sering menjadi detik yang mendebarkan kerana terdapat tok kadi yang akan mengemukakan beberapa soalan berkaitan pengetahuan agama dan disinilah akan berlaku sesi soalan akad nikah.

BACA JUGA : Kenapa Biasanya Waktu Nikah Pengantin Pakai Baju Warna Putih?

Persediaan awal dapat membantu bakal suami menjawab setiap soalan dengan lebih yakin dan lancar. Pengetahuan mengenai soalan yang lazim ditanya juga dapat mengurangkan rasa gementar serta mengelakkan situasi yang boleh memalukan diri sendiri ketika majlis berlangsung.

Disini kami senaraikan beberapa contoh soalan akad nikah yang sering dikemukakan oleh tok kadi sebagai panduan kepada bakal pengantin lelaki membuat persediaan sebelum hari pernikahan.

16 Contoh Soalan Akad Nikah Yang Ditanya Oleh Tok Kadi

Jadi jom kita tengok beberapa contoh soalan yang mungkin akan ditanya oleh Tok Kadi sebelum sesi Akad Nikah berlangsung:

1) Rukun Islam

      Antara perkara asas dalam agama yang sering menjadi topik soalan Tok Kadi ialah berkaitan Rukun Islam. Soalan ini biasanya dianggap sebagai pengetahuan agama yang asas dan penting untuk diketahui oleh setiap bakal pengantin Islam.

      Berikut merupakan lima Rukun Islam yang perlu diketahui:

      1. Mengucap dua kalimah syahadah
      2. Solat 5 waktu
      3. Berpuasa di bulan ramadhan
      4. Mengeluarkan zakat
      5. Menunaikan haji bagi yang berkemampuan

      2) Rukun Iman

        Pengetahuan mengenai asas keimanan juga tidak kurang pentingnya ketika sesi soal jawab sebelum akad nikah. Selain Rukun Islam, Rukun Iman turut menjadi antara perkara yang lazim disentuh oleh Tok Kadi untuk menguji pengetahuan asas agama bakal pengantin lelaki.

        Terdapat enam perkara yang terkandung dalam Rukun Iman, iaitu:

        1. Beriman kepada Allah
        2. Beriman kepada Malaikat
        3. Beriman kepada kitab
        4. Beriman kepada Rasul
        5. Beriman kepada Hari kiamat
        6. Beriman kepada Qada’ dan Qadar

        3) Doa Qunut

        Selain pengetahuan berkaitan Rukun Islam dan Rukun Iman, Doa Qunut juga merupakan antara perkara yang mungkin disentuh oleh Tok Kadi sebelum akad nikah. Bacaan ini penting untuk diketahui oleh bakal pengantin sebagai sebahagian daripada persediaan asas yang mana dibaca ketika Solat Subuh

        Berikut merupakan bacaan Doa Qunut untuk dijadikan sebagai rujukan dan persediaan:

        Doa Qunut

        4) Bacaan Al-Fatihah

          Bacaan Surah Al-Fatihah juga boleh menjadi sebahagian daripada sesi semakan oleh Tok Kadi sebelum akad nikah. Bakal pengantin lelaki mungkin diminta membacanya di hadapan Tok Kadi bagi memastikan bacaan dilakukan dengan baik dan betul.

          Oleh itu, sebaiknya pastikan bacaan Al-Fatihah sudah dikuasai dengan lancar sebelum hari pernikahan. Berikut ialah Surah Al-Fatihah untuk dijadikan bahan rujukan:

          Lafaz Bacaan Al-Fatihah

          5) Lafaz Dua Kalimah Syahadah

          Lafaz Dua Kalimah Syahadah juga antara perkara asas yang wajar dikuasai oleh bakal pengantin sebelum berlangsungnya akad nikah. Bacaan ini perlu diingati dan disebut dengan betul sekiranya diminta oleh Tok Kadi.

          Berikut ialah lafaz Dua Kalimah Syahadah untuk dijadikan sebagai rujukan:

          Lafaz Kalimah Syahadah

          6) Selawat Nabi

          Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW juga merupakan antara bacaan yang baik untuk diketahui oleh bakal pengantin. Bacaan ini bukan sekadar sebagai persediaan menghadapi soalan Tok Kadi, malah boleh dihafal dan diamalkan dalam kehidupan seharian sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW.

          Berikut ialah contoh selawat ke atas Nabi yang boleh dijadikan panduan untuk dihafal dan diamalkan:

          selawat ke atas nabi

          7) Rukun Nikah

          Rukun nikah merupakan perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap bakal pengantin sebelum melangsungkan perkahwinan. Terdapat lima perkara yang menjadi rukun nikah dan setiap satunya mempunyai peranan penting dalam memastikan sesuatu akad pernikahan dapat dilaksanakan.

          Berikut ialah lima rukun nikah yang perlu diketahui:

          1. Pengantin lelaki (Suami)
          2. Pengantin perempuan (Isteri)
          3. Wali
          4. Dua orang saksi lelaki
          5. Lafaz ijab dan Kabul (akad nikah)

          8) Rukun Solat

          Pengetahuan mengenai Rukun Solat juga termasuk antara perkara asas yang boleh ditanya oleh Tok Kadi kepada bakal pengantin.

          Secara keseluruhannya, terdapat 13 perkara yang menjadi Rukun Solat dan setiap satunya perlu diketahui bagi memastikan solat dilaksanakan dengan sempurna.

          1. Berdiri betul
          2. Niat
          3. Takbiratul Ihram
          4. Membaca Surah Al-Fatihah
          5. Rukuk
          6. Iktidal
          7. Sujud
          8. Duduk antara dua sujud
          9. Duduk tahiyat akhir
          10. Membaca tahiyat akhir
          11. Membaca selawat
          12. Memberi salam
          13. Tertib

          9) Bacaan Surah Pendek

          Selain bacaan asas yang lain, Tok Kadi juga ada kalanya meminta bakal pengantin lelaki membaca surah-surah pendek. Antara bahagian Al-Quran yang sering dikaitkan dengan bacaan tersebut ialah Juz Amma, iaitu juzuk ke-30 dan bahagian terakhir dalam Al-Quran.

          Kandungan Juz Amma terdiri daripada banyak surah yang ringkas dan lazimnya dibaca ketika menunaikan solat. Beberapa contoh surah pendek daripada Juz Amma adalah seperti berikut:

          1. Surah An-Nas
          2. Surah Al-Falaq
          3. Surah Al-Ikhlas
          4. Surah Al-Kafirun
          5. Surah Al-Kausar
          6. Surah Ad-Dhuha

          10) Tanggungjawab Suami

          Perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua insan, malah ia turut hadir bersama amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang suami. Selepas akad nikah disempurnakan, suami mempunyai tanggungjawab terhadap isteri dari pelbagai aspek dalam kehidupan berumah tangga.

          Pengetahuan tentang peranan seorang suami juga penting untuk difahami oleh bakal pengantin lelaki sebelum mendirikan rumah tangga. Berikut merupakan antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang suami:

          1. Sebagai ketua keluarga, pelindung isteri dah anak-anak
          2. Mengawal, membimbing, berusaha mencari keperluan hidup keluarga seperti rumah kediaman, pakaian dan makan minum
          3. Mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama

          11) Tanggungjawab Isteri

          Selain memahami peranan sebagai suami, bakal pengantin juga perlu mengetahui tanggungjawab yang dipikul oleh seorang isteri dalam kehidupan berumah tangga. Setiap pasangan mempunyai peranan masing-masing bagi membina keluarga yang harmoni dan saling melengkapi.

          Antara tanggungjawab yang perlu difahami oleh seorang isteri adalah seperti berikut:

          1. Bergaul dengan suami secara baik.
          2. Mengendalikan kerja-kerja rumah
          3. Berhias untuk suami
          4. Taat kepada suami
          5. Menjaga kehormatan dan nama suami

          12) Perkara Yang Menyebabkan Hadas Besar

          Pengetahuan mengenai hadas besar juga penting untuk diketahui oleh bakal pengantin kerana ia berkait rapat dengan kesucian diri sebelum melakukan ibadah. Keadaan berhadas besar menyebabkan seseorang perlu melaksanakan mandi wajib sebelum kembali menunaikan ibadah tertentu seperti solat.

          Oleh itu, bakal pengantin perlu mengetahui keadaan yang boleh menyebabkan seseorang berada dalam hadas besar serta memahami kewajipan mandi wajib selepas mengalaminya. Antara perkara yang menyebabkan hadas besar adalah seperti berikut:

          1. Keluar air mani
          2. Keluar darah haid
          3. Nifas
          4. Bersetubuh
          5. Wiladah
          6. Mati selain mati syahid

          13) Larangan Ketika Berhadas Besar

          Seseorang yang berada dalam keadaan hadas besar perlu mengetahui batasan yang ditetapkan sebelum kembali kepada keadaan suci. Terdapat beberapa amalan dan perkara tertentu yang tidak boleh dilakukan selagi seseorang itu belum melaksanakan mandi wajib.

          Antara perkara yang dilarang ketika berada dalam keadaan hadas besar adalah seperti berikut:

          1. Solat
          2. Menyentuh Al-Quran
          3. Berpuasa
          4. Iktikaf di masjid
          5. Tawaf

          14) Niat Mandi Wajib

          Selain daripada soalan Akad Nikah yang mungkin ditanya oleh Tok Kadi, lafaz niat Mandi Wajib ini juga perlu bakal pengantin tahu terutamanya untuk ketua keluarga. Berikut merupakan lafaz mandi hadas:

          niat mandi wajib

          15) Rukun Wuduk

          Seterusnya contoh soalan Akad Nikah yang selalu ditanya oleh Tok Kadi adalah Rukun Wuduk. Untuk pengetahuan bakal pengantin, terdapat 6 Rukun Wuduk iaitu :

          1. Niat
          2. Membasuh muka
          3. Membasuh dua belah tangan sehingga ke siku
          4. Menyapu kepala
          5. Membasuh dua belah kaki sehingga ke buku lali
          6. Tertib

          16) Perkara Yang Membatalkan Wuduk

          Dah tahu rukun wuduk, jom kita tengok antara perkara yang membatalkan wuduk. Nanti kalau Tok Kadi tanya, anda dah tahu pun.

          1. Semua yang keluar dari qubul dan dubur seperti kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
          2. Tidur yang tidak tetap
          3. Hilang akal disebabkan mabuk, pitam, sakit atau gila
          4. Seorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik
          5. Menyentuh kemaluan manusia, qubul dan dubur samada diri sendiri atau orang lain dengan tapak tangan atau jari-jari tanpa berlapik

          Jadi inilah antara contoh-contoh soalan yang biasa atau selalu ditanya oleh Tok Kadi sebelum akad nikah. Selain persediaan untuk jawab soalan, pengetahuan ini juga sebenarnya penting terutamanya sebagai muslim.

          Diharapkan perkongsian ini bermanfaat terutamanya untuk bakal pengantin yang bakal melangsungkan majlis pernikahan tidak lama lagi.

          Join WhatsApp

          Join Now

          Join Telegram

          Join Now