Mulai 23 Januari 2026, rakyat Malaysia tidak lagi perlu mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara untuk mendapatkan lesen memandu dalam bentuk kad fizikal.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan, permohonan bagi mendapatkan kad lesen memandu fizikal kini boleh dibuat oleh semua individu di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.
Kemudahan ini dibuka kepada semua pemohon tanpa lagi tertakluk kepada syarat atau kategori tertentu seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
Kementerian turut memaklumkan bahawa kad lesen memandu fizikal yang sebelum ini diberikan secara percuma kini dikenakan bayaran.
Namun begitu, pemilikan kad fizikal bukan satu keperluan wajib. Bayaran hanya dikenakan kepada individu yang memilih untuk memiliki salinan fizikal lesen tersebut.
Lesen Memandu Digital Kekal Menjadi Pilihan Utama
Pelaksanaan inisiatif ini juga tidak mengubah dasar pendigitalan lesen memandu yang telah diperkenalkan sejak Februari 2023.
BACA JUGA : Cara Mohon Program MyLesen B2 Selangor
Orang ramai masih boleh memperbaharui lesen memandu secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat JPJ.
Menurut Kementerian Pengangkutan, lesen memandu digital kekal menjadi pilihan utama kerajaan.
Sebaliknya, lesen dalam bentuk fizikal hanya disediakan sebagai pilihan tambahan kepada mereka yang memerlukannya, sama ada atas urusan tertentu atau bagi memberikan lebih keselesaan ketika digunakan.
Harga Kad Fizikal Lesen Memandu Terkini
Bagi warganegara Malaysia, caj yang dikenakan ialah RM20 bagi setiap kad, manakala bukan warganegara perlu membayar RM100. Kadar bayaran ini adalah sama bagi semua kelas lesen memandu, termasuk lesen motosikal, kereta dan lain-lain jenis kenderaan.
Pada masa yang sama, golongan yang sebelum ini layak menerima lesen memandu fizikal secara percuma masih menikmati kemudahan tersebut tanpa sebarang bayaran. Kumpulan yang terlibat ialah:
- Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas
- Pemegang lesen Kelas A dan A1
- Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar
Cara Dapatkan Lesen Memandu Fizikal
Untuk anda yang ingin dapatkan lesen memandu dalam bentuk kad fizikal, anda boleh pergi ke mana-mana cawangan JPJ serta UTC di seluruh negara. Kemudian mohon untuk dapatkan kad fizikal dengan fi cetakan RM20.
Lesen memandu fizikal tersebut anda akan dapat pada hari yang sama, mungkin sekitar 10 ke 15 minit selepas pembayaran selesai dibuat.











