Ramai yang keliru ketika ingin membeli televisyen baharu kerana terdapat pelbagai pilihan di pasaran. Antara yang paling kerap menjadi persoalan ialah perbezaan Smart TV dan Google TV.
Walaupun kedua-duanya boleh disambungkan ke internet serta digunakan untuk menonton kandungan penstriman, terdapat beberapa perbezaan penting yang perlu diketahui sebelum membuat keputusan.
Untuk info, pada awal pengeluaran, nama Android Tv telah digunakan. Kini ianya diselaraskan untuk semua menjadi Google Tv. Jadi jika anda jumpa jenama Tv menggunakan nama ‘android tv’, ini bermakna ianya adalah stok yang lama
Jadi jom kita tengok perbezaan Smart TV dan Google TV dari segi sistem operasi, aplikasi, kemudahan penggunaan serta kelebihan masing-masing.
Persamaan Smart TV dan Google TV
Sebelum melihat perbezaannya, penting untuk mengetahui bahawa kedua-dua jenis televisyen ini mempunyai fungsi asas yang hampir sama. Antara persamaannya ialah:
- Boleh disambungkan ke internet melalui WiFi atau kabel LAN
- Menyokong aplikasi penstriman seperti YouTube dan Netflix
- Membolehkan pengguna menikmati kandungan digital tanpa memerlukan ‘box’ tambahan
BACA JUGA : Cara Tonton Viu Di Smart TV (Sambung & Login)
Oleh sebab itu, ramai yang menganggap kedua-duanya sama, sedangkan terdapat beberapa perbezaan ketara pada sistem dan pengalaman pengguna.
Perbezaan Smart TV dan Google TV
Perbezaan paling utama terletak pada sistem operasi (Operating System atau OS) yang digunakan.
Google TV menggunakan sistem operasi Google OS yang dibangunkan oleh Google sendiri. Sistem ini hampir sama seperti Android pada telefon pintar, tetapi dioptimumkan untuk penggunaan televisyen.
Sebagai contoh, jenama yang menggunakan Google OS atau Google TV ini seperti Sony, Philips, TCL, Xiaomi, Prism+ dan banyak lagi.
BACA JUGA :
- Sony Bravia – Google TV Terbaik
- TCL – Pilihan Mampu Milik
- Xiaomi – Google TV Dengan Harga Bajet Yang Menarik
Sebaliknya, Smart TV menggunakan sistem operasi yang dibangunkan oleh pengeluar televisyen itu sendiri. Contohnya seperti Samsung menggunakan Tizen OS dan LG menggunakan webOS.
Oleh sebab setiap jenama mempunyai sistem operasi tersendiri, pengalaman penggunaan serta aplikasi yang ditawarkan juga berbeza.
Kelebihan Smart TV

Smart TV sesuai untuk pengguna yang mahukan televisyen yang mudah digunakan sebaik sahaja dipasang. Antara kelebihannya seperti
- Menawarkan antaramuka (user interface) lebih ringkas dan kemas
- Mudah dikendalikan walaupun oleh pengguna yang kurang mahir teknologi
- Setting yang lebih mudah difahami
Reka bentuk menu pada Smart TV juga biasanya lebih moden dan tersusun, menjadikannya lebih mesra pengguna.
Kekurangan Smart TV
Walaupun mudah digunakan, Smart TV mempunyai beberapa kekurangan seperti :
- Jumlah aplikasi yang disediakan agak terhad
- Tempoh kemas kini perisian biasanya lebih pendek kerana bergantung kepada pengeluar TV
- Tidak boleh pasang aplikasi tambahan yang tiada dalam store rasmi
Dalam erti kata lain, pilihan aplikasi pada Smart TV biasanya tidak sebanyak Google TV.
Kelebihan Google TV

Google TV menawarkan lebih banyak kebebasan kepada pengguna.
Kelebihan utamanya ialah akses kepada Google Play Store yang menyediakan ribuan aplikasi. Pengguna bukan sahaja boleh memasang aplikasi penstriman popular, malah boleh download pelbagai aplikasi lain seperti browser, media player dan game.
Selain itu, Google TV turut menawarkan:
- Pilihan aplikasi yang jauh lebih banyak
- Sokongan kemas kini sistem daripada Google
- Tempoh sokongan perisian yang lebih lama
- Lebih fleksibel untuk memasang aplikasi mengikut keperluan pengguna
Bagi mereka yang gemar mencuba pelbagai aplikasi atau mahukan fungsi tambahan pada televisyen, Google TV merupakan pilihan yang lebih sesuai.
Kekurangan Google TV
Walaupun mempunyai banyak kelebihan, Google TV juga mempunyai beberapa kekurangan. Antaranya ialah:
- Tidak semua jenama televisyen menggunakan Google TV
- Antaramukanya agak kompleks berbanding Smart TV
- Pengguna baharu mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan menu dan tetapan.
Bagi sesetengah pengguna, pengalaman penggunaan Google TV mungkin kelihatan sedikit lebih rumit pada peringkat awal.
Smart TV vs Google TV – Mana Lebih Baik?
Jika anda hanya mahukan televisyen yang mudah digunakan untuk menonton YouTube, Netflix dan kandungan penstriman lain, Smart TV sudah memadai.
Namun, jika anda mahukan lebih banyak aplikasi, sokongan kemas kini yang lebih lama serta kebebasan untuk memasang pelbagai aplikasi daripada Google Play Store, Google TV merupakan pilihan yang lebih berbaloi.
Secara keseluruhannya, Google TV menawarkan lebih banyak ciri dan fleksibiliti berbanding Smart TV. Walaupun kedua-duanya mempunyai fungsi asas yang sama, Google TV lebih sesuai untuk pengguna yang mahukan pengalaman hiburan yang lebih lengkap dan boleh dikembangkan mengikut keperluan mereka.












