Pemilik restoran Rembayung, Khairul Aming menjelaskan bahawa restorannya tidak menerima kehadiran pelanggan secara walk-in tanpa sebarang tempahan awal.
Perkara itu dimaklumkan oleh usahawan berkenaan menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok, di mana beliau menegaskan bahawa peraturan tersebut terpakai kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian, termasuk ahli politik.
Penjelasan itu dibuat selepas beliau menjawab pertanyaan daripada seorang penonton ketika bersiaran secara langsung di akaun TikTok miliknya.
Khairul Aming Ingin Berlaku Adil Kepada Semua Orang Sama Rata
Khairul Aming, atau lebih dikenali sebagai KA, berkata pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap pelanggan dilayan secara adil tanpa mengira status atau latar belakang individu.
Menurutnya, kehadiran ahli politik ke restoran itu hanya dibenarkan sekiranya mereka mempunyai reservation sama seperti orang lain.
Jika terdapat orang politik yang dilihat hadir, kemungkinan tempahan telah dibuat oleh wakil atau pembantu peribadi mereka, dan perkara tersebut berada di luar kawalannya.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua staffnya telah diarahkan untuk mematuhi peraturan tersebut dengan tegas kerana prinsip keadilan menjadi keutamaan dalam pengurusan restoran.
Pendekatan yang diketengahkan oleh usahawan berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu menarik perhatian orang ramai selepas rakaman siaran langsung berkenaan dikongsikan semula di platform Threads milik Watie Soong.
Dalam perkongsian itu, Khairul Aming turut mengakui bahawa bersikap adil bukan sesuatu yang mudah kerana sering disalah tafsir sebagai tidak bertolak ansur atau kurang empati.
Namun begitu, beliau tetap berpegang pada prinsip tersebut demi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk semua pelanggan.
Sebelum ini, beliau pernah menjelaskan bahawa restoran Rembayung beroperasi sepenuhnya menggunakan sistem tempahan bagi mengelakkan pelanggan terpaksa menunggu terlalu lama.
Langkah itu juga diambil bagi menjaga aspek keselesaan, keselamatan serta mengelakkan kesesakan di kawasan sekitar Rembayung. Tempahan boleh dibuat 2 minggu awal menerusi pautan Rembayung Reservation.
Selain itu, kapasiti restoran yang terhad kepada kira-kira 250 pelanggan pada satu-satu masa menjadikan sistem tempahan sebagai kaedah paling berkesan untuk mengawal jumlah pengunjung dan mengelakkan sebarang situasi yang tidak diingini.












