Sukan SEA 2025 menandakan penganjuran edisi ke-33 temasya sukan dwitahunan paling berprestij di Asia Tenggara, sekali gus menjadi pentas penting untuk menghimpunkan atlet terbaik serantau dalam semangat persaingan sihat dan perpaduan.
Pada edisi kali ini, Thailand dipilih sebagai tuan rumah dengan Bangkok dan Chonburi menjadi lokasi utama penganjuran acara.
Temasya Sukan SEA Thailand kali ini dijadualkan berlangsung selama hampir dua minggu, bermula dari 9 hingga 20 Disember 2025, menjanjikan aksi sukan yang padat dan penuh emosi.
Sebanyak 11 negara Asia Tenggara mengambil bahagian dalam Sukan SEA 2025, melibatkan seramai 9,199 atlet yang bersaing dalam 574 acara daripada 50 jenis sukan.
Kepelbagaian acara yang dipertandingkan bukan sahaja menampilkan sukan arus perdana, malah turut memberi ruang kepada disiplin baharu dan sukan tradisional yang mencerminkan identiti rantau ini.
Setiap kontinjen hadir dengan misi tersendiri, sama ada untuk mempertahankan dominasi atau mencipta kejutan di pentas serantau.
Kontinjen Malaysia Di Sukan SEA 2025
Malaysia turut memainkan peranan besar dalam edisi kali ini dengan menghantar seramai 1,166 atlet bagi menyertai 458 acara yang dipertandingkan.
Kontinjen negara meletakkan sasaran tinggi apabila mensasarkan kutipan 200 pingat tanpa mengira warna, selari dengan usaha memperkukuh prestasi sukan negara dan melahirkan atlet berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Kedudukan Pingat Sukan SEA 2025
Berikut merupakan carta dan kedudukan pungutan pingat bagi setiap negara yang mengambil bahagian dalam Sukan SEA 2025.
| No. | Negara | Emas | Perak | Gangsa | Jumlah |
|---|---|---|---|---|---|
| 1 | Thailand | 233 | 154 | 106 | 499 |
| 2 | Indonesia | 91 | 111 | 131 | 333 |
| 3 | Vietnam | 87 | 81 | 110 | 278 |
| 4 | Malaysia | 57 | 57 | 117 | 231 |
| 5 | Singapura | 52 | 61 | 89 | 202 |
| 6 | Filipina | 50 | 73 | 154 | 277 |
| 7 | Myanmar | 3 | 21 | 49 | 73 |
| 8 | Laos | 2 | 9 | 28 | 39 |
| 9 | Brunei | 1 | 3 | 5 | 9 |
| 10 | Timor-Leste | 0 | 1 | 7 | 8 |
*Kemboja menarik diri daripada menyertai Sukan SEA 2025 kali ini
Malaysia menghabiskan temasya Sukan SEA Thailand 2025 di tempat ke-4 dengan membawa pulang 231 jumlah pingat keseluruhan. Daripada itu, 57 adalah pingat emas, 57 juga untuk jumlah pingat perak dan 117 untuk pingat gangsa.
Ini merupakan antara pencapaian terbaik kontinjen negara dalam temasya dwi-tahunan tersebut. Syabah semua atlet Malaysia!
Sumber : https://www.seagames2025.org/












