Perlawanan Final Piala FA 2025 antara JDT vs Sabah menjadi tumpuan utama peminat bola sepak tempatan apabila dua pasukan dari Malaysia Timur dan Selatan tanah air ini bakal bertembung di pentas akhir.
Perlawanan berprestij ini merupakan edisi Piala FA yang ke-35 dan dijangka berlangsung penuh emosi, sejarah serta tekanan tinggi kerana melibatkan rebutan trofi dan tiket ke pentas Asia.
Final Piala FA 2025 Edisi Ke-35
Perlawanan final Piala FA 2025 ini mempertemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Sabah FC. Aksi kemuncak ini akan diadakan pada 14 Disember 2025, hari Ahad, dengan sepak mula dijadualkan pada jam 9.00 malam.
Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai venue rasmi, sekali gus menjanjikan suasana luar biasa dengan kehadiran puluhan ribu penyokong kedua-dua pasukan.
Sebagai stadium kebangsaan, Bukit Jalil sering menjadi saksi detik bersejarah bola sepak Malaysia, dan final kali ini tidak terkecuali. Pertembungan JDT vs Sabah dilihat sebagai perlawanan yang sarat dengan naratif lama dan baharu.

Info Siaran Langsung JDT vs Sabah
Bagi peminat yang tidak dapat hadir ke stadium, siaran langsung final Piala FA 2025 JDT vs Sabah boleh ditonton melalui Astro di Arena Bola (803) dan Astro Arena 2 (802). Selain itu, peminat juga boleh saksikan menerusi saluran RTM di TV Okey.
Untuk yang tidak berkesempatan menonton di kaca tv, anda boleh tonton secara live streaming di platform Sooka atau menggunakan RTM Klik yang disediakan secara percuma.
Pilihan ini memberi kemudahan kepada peminat untuk menyaksikan perlawanan secara langsung sama ada di televisyen atau peranti mudah alih, tanpa terlepas sebarang aksi penting.
Rekod dan Sejarah JDT di Final Piala FA
Final ini merupakan penampilan keenam JDT di pentas final Piala FA, satu pencapaian yang membuktikan dominasi berterusan Harimau Selatan dalam bola sepak tempatan.
Setakat ini, JDT telah menjuarai Piala FA sebanyak empat kali, iaitu pada tahun 2016, 2022, 2023 dan 2024.
Jika JDT berjaya menewaskan Sabah pada final Piala FA 2025, mereka akan mencipta sejarah dengan mengekalkan kejuaraan Piala FA untuk empat edisi berturut-turut.
Rekod ini sekali gus mengukuhkan status JDT sebagai pasukan paling konsisten dan digeruni di Malaysia.
Sabah Misi Ulangi Sejarah Lama
Bagi Sabah pula, peluang ini hadir selepas penantian yang sangat panjang. Sabah hanya pernah muncul juara Piala FA sekali sahaja, iaitu pada tahun 1995, bersamaan 30 tahun yang lalu. Kali terakhir Sabah mara ke final Piala FA adalah pada tahun 1998.
Menariknya, final pada tahun 1998 itu turut menemukan Sabah dengan pasukan dari Johor. Namun, Sabah terpaksa akur tewas 0-1, sekali gus muncul sebagai Naib Juara ketika itu.
Kenangan pahit itu pastinya masih segar dalam lipatan sejarah bola sepak Sabah, dan final 2025 memberi peluang untuk membalas episod lama tersebut.
Statistik Pertemuan JDT vs Sabah
Dari segi rekod semasa, JDT jelas berada di atas berbanding Sabah. Lima pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan Sabah tewas dalam kesemuanya, dengan kekalahan sekurang-kurangnya tiga gol setiap perlawanan.
Lebih perit, pertemuan terakhir dalam Liga Super pada September lalu menyaksikan Sabah dibolosi lapan gol tanpa balas oleh JDT.
Statistik ini meletakkan JDT sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai final Piala FA 2025. Namun, perlawanan akhir sering hadir dengan cerita berbeza, di mana tekanan dan fokus memainkan peranan besar.
Rebutan Slot AFC Champions League Two
Selain trofi Piala FA, perlawanan ini turut menawarkan ganjaran besar. Pemenang final Piala FA 2025 akan memperoleh slot ke AFC Champions League Two (ACL Two).
Peluang beraksi di kejohanan peringkat Asia ini menjadi motivasi tambahan buat kedua-dua pasukan untuk memberikan aksi terbaik.
Bagi JDT, pentas Asia bukan sesuatu yang asing. Namun bagi Sabah, slot ACL Two bakal membuka lembaran baharu dan mengangkat nama pasukan ke peringkat lebih tinggi.
Mampukah Sabah Cipta Kejutan?
Persoalan utama menjelang siaran langsung final Piala FA 2025 JDT vs Sabah adalah sama ada Sabah mampu melakar kejutan. Walaupun rekod pertemuan tidak memihak kepada mereka, status final menjadikan segala kemungkinan terbuka.
Dengan sokongan penyokong, strategi tepat dan semangat juang tinggi, Sabah berpeluang mencabar dominasi JDT. Atau JDT akan terus mara memenangi trofi Piala FA untuk empat kali berturut-turut?
Sama ada sejarah berulang atau cerita baharu tercipta, segalanya akan terjawab pada malam 14 Disember 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Keputusan Perlawanan
FT : JDT (5) – (0) Sabah
- Jonathan Silva 8′
- Rawilson Batuil (OG) 20′
- Jairo da Silva 23′
- Oscar Arribas 64′
- Manuel Hidalgo 90+2′
*JDT muncul juara Piala FA 2025
Masa : 9.00 Malam
Venue : Stadium Nasional Bukit Jalil
Tayangan TV : Arena Bola, TV Okey
Live Streaming : Sooka, RTM Klik












