Adakah pada tahun ini kita akan beraya hari Jumaat atau Sabtu, sebenarnya kita tetap akan cuti Aidilfitri selama 4 hari. Cuma perlu tunggu pengumuman rasmi sahaja.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan cuti tambahan sehari sempena Aidilfitri. Cuti tersebut akan ditetapkan sama ada pada hari Jumaat minggu hadapan ataupun pada hari Isnin selepasnya.
Cuti tambahan ini mungkin timbul apabila banyak cakap-cakap nitizen mengatakan kita mungkin akan beraya ‘mengejut’ seperti tahun 2022. Pelbagai teori dan perkongsian dikongsikan di laman media sosial.
Jika berdasarkan kalendar, umat Islam di Malaysia akan beraya pada 21 Mac 2026 iaitu pada hari Sabtu. Disebabkan pelbagai spekulasi inilah, ada yang menyatakan kita mungkin beraya pada 20 Mac 2026 iaitu pada hari Jumaat.
Seperti yang diumumkan, penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat pada 19 Mac 2026 iatu pada hari Khamis. Pada hari tersebut, barulah secara rasmi, kita akan tahu adakah kita akan beraya pada 20 atau 21 Mac.
BACA JUGA : Senarai Tarikh Hari Raya Aidilfitri Dari Dulu Sehingga Sekarang
Setakat ini, sabtu telah ditentukan untuk cuti umum Aidilfitri. Bagaimana sekiranya Aidilfitri jatuh pada Jumaat yang mana sepatutnya masih hari bekerja? Adakah akan diberi cuti juga?
Cuti Aidilfitri Tetap 4 Hari
Secara umumnya, sekiranya 1 Syawal jatuh pada Jumaat, pada hari tersebut secara automatik merupakan cuti umum.
Walaupun begitu, PMX telah umumkan cuti tambahan sehari sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu.
Sekiranya 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat, cuti tambahan diberikan pada hari Isnin, 23 Mac. Manakala sekiranya 1 Syawal tetapi disambut pada Sabtu, cuti sehari lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac.

Namun begitu untuk situasi Syawal disambut pada Sabtu, cuti umum Aidilfitri adalah untuk 2 hari. Jadi hari ke-2, jatuh pada hari Ahad, maka cuti ganti dibawa kepada hari Isnin.
Sebenarnya untuk senang faham, sama ada kita beraya pada Jumaat atau Sabtu, kita tetap akan peroleh 4 hari cuti iaitu 20 hingga 23 Mac 2026 (Jumaat – Isnin).











