Ramai yang tertanya-tanya sebenarnya apa beza ASB dan ASBF? Adakah ianya 2 perkara yang sama atau ianya sesuatu yang berlainan. Apa yang ditawarkan baik ASB atau ASBF ini sebenarnya?
Sekilas lalu, keduanya nampak serupa kerana melibatkan pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Namun, hakikatnya ada perbezaan besar dari segi cara pelaburan, risiko, serta potensi pulangan.
ASB ialah pelaburan tunai yang anda laburkan terus dari duit sendiri. Manakala ASBF pula ialah pinjaman yang anda ambil dari bank untuk melabur dalam ASB. Disebabkan wujud unsur pembiayaan (financing), ASBF lebih kompleks dan perlu difahami dengan teliti sebelum membuat keputusan.
Memahami perbezaan ini penting supaya anda dapat merancang kewangan dengan lebih bijak. Tidak semestinya satu lebih baik daripada yang lain, tapi yang penting adalah kesesuaian dengan matlamat kewangan, toleransi risiko dan kemampuan anda untuk mengurus komitmen bulanan. Jadi, jom kita lihat lebih lanjut.
Apa Itu ASB?
ASB atau Amanah Saham Bumiputera ialah satu bentuk pelaburan unit amanah yang ditawarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) khas untuk Bumiputera.

Ia membolehkan pelabur menyimpan wang dan memperoleh pulangan tahunan dalam bentuk pengagihan pendapatan atau bahasa mudah, dividen. ASB terkenal dengan kadar pulangan yang stabil serta rendah risiko kerana pelabur tidak perlu risau tentang turun naik harga unit.
Pelaburan ini bersifat modal tetap, dimana setiap unit ASB kekal pada harga RM1. Pelabur boleh melabur secara tunai, sama ada melalui kaunter, ejen, atau portal https://www.myasnb.com.my/ dan aplikasi myASNB. Wang yang dilaburkan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, menjadikannya pilihan yang fleksibel.
Apa Itu ASBF?
ASBF pula bermaksud Amanah Saham Bumiputera Financing. Ia merujuk kepada pelaburan dalam ASB menggunakan pinjaman yang diberikan oleh institusi kewangan seperti bank. Dalam erti kata mudah, anda meminjam wang daripada bank untuk melabur dalam ASB.
Pelabur akan mendapat dividen tahunan daripada pelaburan ASB, namun pada masa yang sama perlu membayar ansuran bulanan kepada bank termasuk faedah (keuntungan).
Ini menjadikan ASBF sebagai strategi pelaburan berasaskan leverage yang mana anda menggunakan duit bank untuk cuba mendapatkan pulangan yang lebih tinggi daripada kadar faedah yang dikenakan.
ASBF sesuai untuk mereka yang disiplin kewangan tinggi dan ingin gandakan potensi pelaburan dengan risiko yang terkawal. Antara contoh bank yang menawarkan ASBF seperti Maybank, RHB, CIMB, Affin Bank dan banyak lagi.

Perbezaan ASB vs ASBF
Perbezaan utama antara ASB dan ASBF ialah sumber modal pelaburan. ASB menggunakan duit sendiri, manakala ASBF menggunakan pinjaman bank. Ini bermakna ASB tidak mempunyai komitmen bulanan, manakala ASBF memerlukan bayaran ansuran tetap setiap bulan.
Kalau ASB guna duit sendiri untuk melabur, ASBF pula pinjam duit bank untuk melabur, jadi satu tak ada hutang, satu lagi kena bayar balik setiap bulan.
Dari segi risiko, ASB lebih rendah kerana tiada hutang terlibat. ASBF pula lebih berisiko sekiranya pulangan ASB menurun atau pelabur gagal membayar balik pinjaman. Namun, potensi pulangan ASBF boleh menjadi lebih tinggi kerana jumlah pelaburan yang lebih besar.
ASBF sesuai untuk jangka panjang dan strategi ‘compounding’, manakala ASB lebih fleksibel untuk simpanan biasa atau kecemasan.
Kesimpulan
Sama ada anda pilih ASB atau ASBF, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri. Yang penting, fahami keperluan dan kemampuan kewangan anda sebelum membuat keputusan. Jangan ikut orang, pilih yang sesuai dengan gaya hidup dan perancangan anda. Paling penting juga, kena tahu beza ASB dan ASBF dahulu.
Jadi korang dah start melabur di ASB? Guna duit sendiri ke atau secara ASBF? Kongsilah dengan kami…













1 thought on “Apa Beza ASB dan ASBF? Ini Anda Perlu Tahu”
Comments are closed.