Kerajaan Negeri Terengganu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan bahawa semua bentuk aktiviti busking tidak dibenarkan sepanjang sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Ianya melibatkan kawasan seliaan Pihak Berkuasa Tempatan bagi setiap daerah.
Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam sesi perbincangan bersama pada 12 Januari 2026.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Sesi libat urus berkenaan disertai oleh beberapa agensi. Mereka adalah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Persatuan Busker Negeri Terengganu, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Majlis Perbandaran Kemaman.
Aktiviti Busking Masih Boleh Dijalankan Pada Hari-Hari Selain Daripada Sepuluh Malam Terakhir Ramadan.
Walau bagaimanapun, aktiviti busking masih dibenarkan untuk tempoh selain daripada sepuluh malam terakhir Ramadan. Akan tetapi perlu ikuti syarat pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan oleh PBT di kawasan masing-masing.
Larangan sepenuhnya itu melibatkan tempoh antara 21 hingga 30 Ramadan 1447 Hijrah dan terpakai di semua kawasan pentadbiran PBT di seluruh negeri. Bagi hari-hari lain, aktiviti persembahan jalanan boleh diteruskan selagi memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Antara ketetapan utama yang digariskan ialah waktu persembahan hanya dibenarkan bermula pada jam 9.30 malam sehingga 12 tengah malam. Selain itu, lokasi persembahan perlu berada pada jarak lebih 500 meter daripada mana-mana masjid atau surau.
Hanya persembahan yang berbentuk ketuhanan dibenarkan, termasuk alunan nasyid, lagu berunsur kerohanian serta lagu-lagu berkaitan sambutan Hari Raya.
Ketetapan ini diwujudkan bagi menjaga ketenteraman awam, keselamatan serta keselesaan penduduk, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang menuntut suasana lebih harmoni.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa tempatan turut diingatkan supaya tidak mengenakan bayaran lesen atau caj yang membebankan kepada busker yang mematuhi segala syarat ditetapkan.
Kerajaan negeri turut menyeru semua pihak agar menghormati dan mematuhi keputusan ini. Ianya adalah demi memelihara kesucian Ramadan serta memastikan kesejahteraan masyarakat di seluruh Negeri Terengganu.
Sumber :












