Pengguna lebuh raya bakal menikmati pengurangan kadar atau diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2026.
Menteri Kerja Raya, Dato Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa insentif tersebut akan dilaksanakan bermula pukul 12.01 tengah malam pada 14 Februari 2026, Sabtu, dan berakhir pada 11.59 malam keesokan harinya, Ahad, 15 Februari 2026.

Menurut beliau, pelaksanaan diskaun tol itu adalah hasil persetujuan yang dicapai dalam Mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada hari Jumaat.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan perlu menanggung kos pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM19.5 juta.
Langkah berkenaan, katanya, sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menitikberatkan nilai perpaduan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan pegangan kepercayaan.
Nanta turut menyatakan bahawa pemberian diskaun tol ini diharap dapat membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat Malaysia, khususnya bagi mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman sempena Tahun Baharu Cina atau melakukan perjalanan awal bagi menyambut ketibaan Ramadan.
Jenis Kenderaan Yang Menerima Diskaun Top Sebanyak 50 Peratus
Jelasnya lagi, pengurangan kadar tol tersebut melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol di seluruh negara serta Kelas 2 khusus bagi Jambatan Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun, kemudahan ini tidak terpakai di plaza tol sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).
Beliau menambah bahawa penetapan tarikh pelaksanaan diskaun itu dibuat bagi mengurangkan kesesakan pada hari perjalanan utama, selain memastikan kelancaran operasi dan pengurusan logistik tambahan di kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang lebuh raya.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya disarankan agar memanfaatkan penurunan kadar tol ini secara bijak dengan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Sumber : Kementerian Kerja Raya











