Tiada Lagi Keputusan Seri: Liga-J Perkenal Format Baharu Tentukan Pemenang

By Mein Amorim

Published On:

Follow Us
format baharu j league

Pihak pengurusan J-League mengambil langkah drastik apabila memutuskan bahawa keputusan seri tidak lagi wujud bermula musim hadapan 2026/27.

Dengan format baharu ini, sekiranya kedua-dua pasukan terikat selepas tamat 90 minit permainan, perlawanan akan terus ditentukan menerusi sepakan penalti untuk memilih pemenang.

Dengan pendekatan ini, setiap aksi hanya menghasilkan satu pasukan menang dan satu pasukan tewas.

Walaupun format pertandingan berubah, sistem kutipan mata masih mengekalkan sebahagian peraturan sedia ada.

Kemenangan dalam tempoh masa sebenar tetap menghadiahkan tiga mata (3) kepada pasukan yang berjaya, manakala pasukan yang tewas dalam 90 minit tidak memperoleh sebarang mata (0).

Format Baharu J-League Tanpa Keputusan Seri

Perbezaan ketara muncul apabila perlawanan berlarutan ke penentuan penalti. Pasukan yang menang menerusi sepakan tersebut akan mengutip dua (2) mata, sementara pasukan yang kalah tetap membawa pulang satu (1) mata.

Kaedah lama yang memberikan satu mata kepada kedua-dua pasukan selepas keputusan seri kini tidak lagi diguna pakai.

Sistem baharu ini diperkenalkan dengan tujuan merancakkan corak permainan serta meningkatkan intensiti saingan dalam setiap perlawanan.

Pelaksanaan peraturan ini hanya melibatkan musim peralihan yang dijadualkan berlangsung dari Februari hingga Jun depan.

Tempoh tersebut merupakan fasa penyesuaian kalendar bola sepak Jepun agar seiring dengan jadual liga di Eropah. Kebiasaannya bermula pada Ogos dan berakhir pada Mei tahun berikutnya.

format baharu j league

Setakat ini, pihak liga tidak menyatakan hasrat untuk menjadikan format tersebut sebagai amalan kekal selepas tempoh percubaan tamat.

Namun, ruang untuk meneruskannya masih terbuka sekiranya maklum balas daripada penyokong dan kelab menunjukkan sokongan yang memberangsangkan.

Menurut pihak penganjur, perubahan ini bertujuan meningkatkan tahap daya saing dan memastikan setiap perlawanan mempunyai keputusan yang jelas.

Mereka menyasarkan aksi lebih dramatik, rentak permainan yang pantas serta nilai hiburan yang lebih tinggi untuk menarik minat penonton.

Sama ada inisiatif ini akan bertahan dalam jangka panjang masih belum dapat ditentukan. Walau bagaimanapun, penghapusan keputusan seri ini sudah pun mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pemerhati sukan dan berpotensi memberi impak lebih luas terhadap landskap bola sepak antarabangsa sekiranya terbukti berkesan.

Sumber : vietnam.vn

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now