Umat Islam di Malaysia akan mengetahui tarikh rasmi permulaan Ramadan tahun ini selepas proses melihat anak bulan dijalankan pada petang Selasa, 17 Februari 2026, bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan bahawa penentuan awal Ramadan dibuat berasaskan kaedah Rukyah dan Hisab sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja. Kaedah ini menjadi amalan dalam menetapkan tarikh penting dalam kalendar Islam di Malaysia.
Pengumuman rasmi mengenai tarikh mula berpuasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam tersebut menerusi siaran radio dan televisyen.
Perisytiharan itu dibuat bagi menyempurnakan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.
Senarai Lokasi Untuk Lihat Anak Bulan Ramadan
Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara telah diperkenankan sebagai tempat cerapan anak bulan Ramadan.
Antara lokasi yang terlibat termasuk Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail di Pontian, Johor serta Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.
Di Negeri Sembilan, proses cerapan dijalankan di Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson. Selangor pula melibatkan beberapa lokasi seperti Bukit Melawati di Kuala Selangor, Bukit Jugra di Banting, Kuala Langat serta Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam.
Bagi negeri Perak, lokasi yang ditetapkan ialah Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung.
Pulau Pinang menggunakan Pusat Falak Sheikh Tahir di Pantai Aceh, manakala Kedah melibatkan Kampung Pulau Sayak di Kuala Muda, Pemandangan Indah di Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar.
Di Terengganu, cerapan dilakukan di beberapa tempat termasuk Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga di Kemaman, Pulau Perhentian di Besut serta Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin di Mukim Merang, Setiu.
Kelantan pula menetapkan Bukit Peraksi di Pasir Puteh, Bukit Kampong Tembeling di Mukim Manjur, Kuala Krai serta Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Kota Bharu sebagai lokasi melihat anak bulan.
Sarawak turut terlibat dengan lokasi di Pusat Falak Miri, Teluk Bandung di Kuching dan Bintulu. Di Sabah, cerapan dijalankan di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan.
Pahang pula melibatkan Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Berincang di Cameron Highlands dan Menara Kuantan 188.
Beberapa lokasi lain yang turut disenaraikan ialah Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis.
Penetapan tarikh melihat anak bulan Ramadan ini menjadi langkah penting dalam menentukan bilakah umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa Ramadan secara serentak di seluruh negara.












1 thought on “Tarikh Lihat Anak Bulan Ramadan Pada Selasa, 17 Februari Ini”
Comments are closed.