7 Tanda Dan Gejala Penyakit Tibi Yang Mungkin Anda Tak Sedar

By Mein Amorim

Published On:

Follow Us
penyakit tibi

Ramai beranggapan penyakit Tibi atau Tuberkulosis sudah tidak lagi menjadi ancaman, seolah-olah ia hanya wujud pada zaman lampau.

Namun realitinya, jangkitan Tibi masih berlaku hingga ke hari ini dan mampu menyerang sesiapa sahaja, khususnya apabila seseorang terdedah kepada individu dijangkiti dalam jangka masa lama di kawasan tertutup.

Situasi ini dibuktikan apabila satu kluster Tibi dikesan di Kota Tinggi baru-baru ini. Daripada 804 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dan menjalani saringan kesihatan, seramai 33 orang disahkan positif Tibi setakat 4 Februari lalu.

Tanda Dijangkiti Penyakit Tibi

Perkongsian ini bukan bertujuan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, sebaliknya sebagai peringatan agar semua pihak lebih berwaspada dan tidak mengambil mudah soal kesihatan.

Untuk memahami risiko sebenar, penting untuk mengetahui cara Tibi merebak.

Penyakit ini menular melalui udara, terutama apabila individu yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap di ruang tertutup. Risiko jangkitan meningkat dengan ketara sekiranya seseorang:

  • Tinggal bersama pesakit
  • Bekerja rapat setiap hari
  • Berada lama dalam ruang tertutup yang sama

Apa yang lebih membimbangkan, jangkitan Tibi pada peringkat awal sering berlaku tanpa sebarang tanda ketara. Keadaan ini menyebabkan ramai tidak menyedari diri mereka sudah dijangkiti.

Oleh itu, sekiranya anda atau orang terdekat mengalami simptom atau gejala penyakit Tibi seperti berikut, jangan menganggapnya sebagai batuk biasa:

  • Batuk berterusan melebihi dua minggu
  • Demam yang berpanjangan
  • Kerap berpeluh pada waktu malam
  • Penurunan berat badan tanpa sebab jelas
  • Selera makan berkurangan
  • Rasa sakit di bahagian dada
  • Batuk berdarah atau kahak bercampur darah
gejala penyakit tibi

Walaupun simptom ini muncul secara beransur-ansur, kesannya boleh menjadi serius sekiranya rawatan tidak dimulakan lebih awal.

Jadi sekiranya anda tanda gejala seperti diatas, buat saringan di klinik atau hospital segera.

Bagaimana Saringan Tibi Dilakukan?

Di pusat kesihatan, proses pengesanan Tibi biasanya melibatkan beberapa peringkat pemeriksaan, antaranya:

  • Penilaian risiko melalui temu bual dan pemeriksaan fizikal
  • Pemeriksaan X-ray dada bagi menilai keadaan paru-paru
  • Ujian kahak untuk individu bergejala atau disyaki
  • Saringan ke atas kontak rapat walaupun tidak menunjukkan simptom
keadaan peparu Tuberculosis

Prosedur ini penting kerana jangkitan Tibi boleh berlaku secara senyap tanpa tanda jelas.

Justeru, jika anda tinggal serumah dengan individu disyaki atau disahkan menghidap Tibi, bekerja rapat setiap hari atau kerap berkongsi ruang tertutup, pemeriksaan kesihatan tidak wajar ditangguhkan.

Pengesanan awal membolehkan rawatan dimulakan dengan segera sekali gus membantu menghentikan penularan penyakit.

Kesedaran ini bukan untuk menakutkan, tetapi sebagai langkah melindungi diri sendiri, keluarga serta masyarakat sekeliling.

Sumber : Facebook Public Helath Malaysia

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now