Hanya beberapa hari sahaja lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut ketibaan Ramadan, bulan yang sentiasa dinanti setiap tahun.
Kehadiran bulan penuh keberkatan ini membawa pelbagai ganjaran, limpahan rahmat serta peluang untuk meningkatkan amal ibadah.
Sepanjang Ramadan, umat Islam diwajibkan menahan diri daripada makan dan minum bermula seawal terbit fajar sehingga matahari terbenam pada waktu Maghrib.
Dalam tempoh tersebut, segala perkara yang boleh membatalkan puasa perlu dielakkan sebagai tanda ketaatan dan disiplin rohani.
Walaupun Ramadan diraikan serentak oleh umat Islam di seluruh dunia, tetapi tempoh berpuasa tidak sama antara satu negara dengan negara yang lain.
BACA JUGA : Tarikh Lihat Anak Bulan Ramadan Adalah Pada Selasa Depan
Ada tempat yang menyaksikan waktu siang lebih panjang sehingga tempoh berpuasa menjadi lebih lama, manakala ada juga lokasi yang menikmati waktu siang lebih singkat dan sekali gus tempoh puasa yang lebih pendek.
Perbezaan ini berlaku disebabkan kedudukan geografi dan latitud sesebuah negara. Kawasan yang terletak jauh di utara atau selatan bumi mengalami perubahan panjang waktu siang yang ketara, terutama ketika musim tertentu.
Senarai 10 Negara Berpuasa Paling Lama Pada Ramadan 2026
- Helsinki, Finland (17.5 jam)
- Nuuk, Greenland (17 jam)
- Glasgow, Scotland (16.5 jam)
- Ottawa, Canada (16.5 jam)
- Zurich, Switzerland (16.5 jam)
- Rome, Italy (16.5 jam)
- Madrid, Spain (16 jam)
- London, United Kingdom (16 jam)
- Paris, France (15.5 jam)
- Reykjavik, Iceland (15 jam)
Laporan oleh Khaleej Times menyebut bahawa kawasan di latitud tinggi seperti utara Rusia, Greenland dan Iceland dijangka mencatat antara tempoh puasa paling panjang di dunia.
Kedudukan geografi di Hemisfera Utara menyebabkan negara seperti Greenland, Iceland, Norway, Sweden dan Finland menerima cahaya matahari untuk jangka masa yang lebih lama dalam sehari, sekali gus memanjangkan waktu berpuasa melebihi 16 jam.
Di beberapa lokasi tertentu yang berada pada altitud tinggi di Sweden, Norway, Greenland serta bahagian utara Kanada, tempoh berpuasa boleh mencecah sehingga 20 jam.
Keadaan ini berlaku kerana fenomena waktu siang yang sangat panjang berbanding malam.
Senarai 10 Negara Berpuasa Paling Singkat Pada Ramadan 2026
- Christchurch, New Zealand (11.5 jam)
- Puerto Montt, Chile (11.5 jam)
- Karachi, Pakistan (12 jam)
- Buenos Aires, Argentina (12 jam)
- Cape Town, South Africa (12.5 jam)
- New Delhi, India (12.5 jam)
- Kuala Lumpur, Malaysia & Jakarta, Indonesia (12.5 jam)
- Dubai, UAE (13 jam)
- Nairobi, Kenya (13 jam)
Sebaliknya, negara yang berada berhampiran garisan Khatulistiwa atau di Hemisfera Selatan menikmati tempoh puasa yang lebih singkat. Ini kerana waktu siang dan malam lebih seimbang, selain matahari terbenam lebih awal berbanding negara di latitud tinggi.
Di beberapa kawasan seperti Brazil, Argentina, Uruguay, Afrika Selatan, Chile dan New Zealand, umat Islam lazimnya berpuasa sekitar 11 hingga 13 jam sehari.
Sementara itu, negara berhampiran Khatulistiwa seperti Indonesia, Malaysia dan Kenya pula mencatat tempoh puasa yang lebih konsisten sepanjang tahun, kebiasaannya antara 12 hingga 14 jam.
Perbezaan tempoh berpuasa ini membuktikan betapa uniknya pengalaman Ramadan di setiap pelosok dunia, meskipun matlamat dan semangatnya tetap sama dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sumber : khaleejtimes.com











