Proton akhirnya melancarkan kereta elektrik mampu milik pertama mereka, dikenali sebagai Proton e.MAS 5. Ianya merupakan adik kepada Proton eMAS 7 yang telah dilancarkan pada Disember tahun lepas.
Selepas beberapa bulan penuh teaser dan jelajah promosi, model ini kini rasmi ditawarkan kepada pasaran tempatan dengan harga permulaan yang mengejutkan ramai.
BACA JUGA : Senarai Harga Kereta Honda WRV 2023
Pelancaran e.MAS 5 menandakan langkah besar Proton ke arah era mobiliti elektrik sepenuhnya. Atau senang cerita kereta EV.
Ia juga menunjukkan komitmen anak syarikat mereka, PRO-NET (Proton New Energy Technology), untuk mempercepatkan peralihan industri automotif negara ke arah kenderaan mesra alam.
Harga Rasmi Proton EV e.MAS 5 di Malaysia
Ramai menjangkakan harga model ini berada sekitar RM80,000 hingga RM90,000. Namun, Proton berjaya mengejutkan pasaran apabila mengumumkan harga rasmi jauh lebih rendah.
Berikut senarai harga penuh untuk 2 varian Proton e.MAS 5 tahun 2025 di Malaysia:
- Proton e.MAS 5 Prime – RM59,800 (Harga rebat RM56,800)
- Proton e.MAS 5 Premium – RM72,800 (Harga rebat RM69,800)
Untuk tambahan, Pro-Net menawarkan rebat istimewa pelancaran berharga RM3,000.
Terdapat 5 pilihan warna untuk kedua-dua varian iaitu Marble Cream, Moonstone White, Graphite Silver, Slate Grey dan Quartz Rose.

Dengan harga ini, e.MAS 5 kini secara rasmi menjadi kereta elektrik paling mampu milik di Malaysia buat masa ini. Malah, ia menandingi beberapa model EV dari China yang dijual pada harga lebih tinggi.
Reka Bentuk dan Konsep
Reka bentuk e.MAS 5 menampilkan gaya moden dan ringkas. Ia hadir dalam bentuk hatchback lima pintu yang sesuai untuk pemanduan bandar.
Bahagian hadapan menggunakan rekaan “closed grille” khas EV dengan logo Proton bercahaya yang menonjol pada waktu malam.
Lampu utama LED penuh memberikan rupa lebih futuristik. Di bahagian belakang, lampu melintang penuh memberi sentuhan moden seperti kebanyakan model EV global.
Reka bentuk aerodinamiknya membantu mengurangkan penggunaan tenaga semasa pemanduan jarak jauh.
Spesifikasi dan Varian
Modal ini menawarkan dua varian utama iaitu Prime dan Premium dimana mempunyai perbezaan ketara dari segi bateri, kuasa motor, dan jarak pemanduan.
Proton e.MAS 5 Prime (RM59,800):
- Motor elektrik berkuasa 58 kW (78 hp)
- Tork maksimum 130 Nm
- Bateri berkapasiti 30.12 kWh
- Jarak pemanduan sekitar 225 km (anggaran WLTP)
- Pengecasan AC 6.6 kW dan DC pantas sehingga 40 kW
Proton e.MAS 5 Premium (RM72,800):
- Motor elektrik berkuasa 85 kW (114 hp)
- Tork maksimum 150 Nm
- Bateri lebih besar 40.16 kWh
- Jarak pemanduan sekitar 325 km (anggaran WLTP)
- Pengecasan pantas DC sehingga 60 kW




Varian Premium turut dilengkapi sistem bantuan pemandu (ADAS), kamera 360 darjah, serta ciri keselamatan tambahan.
Prestasi dan Pengalaman Pemanduan
Walaupun e.MAS 5 bukan EV berprestasi tinggi, ia cukup berkuasa untuk kegunaan harian di bandar. Kuasa tork segera daripada motor elektrik memberikan pecutan yang lancar dan responsif.
Transmisi automatik tunggal menjadikan pemanduan lebih mudah tanpa pertukaran gear. Dengan bateri yang ringan, kereta ini memberi kawalan stabil di jalan raya dan sudut selekoh.
Sistem suspensi ditala untuk keselesaan pemanduan harian, sesuai untuk keluarga kecil atau pemandu baru yang mahu mencuba dunia EV.
Ciri Dalaman dan Teknologi
Bahagian dalaman e.MAS 5 mempamerkan gaya moden dan minimalis. Skrin paparan infotainmen besar 12.3 inci mendominasi papan pemuka dengan sistem e.MAS Connect terbina dalam.

Ia menyokong kawalan suara pintar, sambungan telefon pintar, serta pelbagai fungsi keselamatan pintar. Sistem pendingin hawa digital, stereng pelbagai fungsi, dan tempat duduk fabrik berkualiti turut menambah keselesaan.
Untuk varian Premium, tempat duduk dibalut kulit sintetik dan dilengkapi sistem pemantauan tekanan tayar, amaran pelanggaran, dan fungsi brek kecemasan automatik.
Pengecasan dan Ketahanan Bateri
Proton menyediakan dua pilihan pengecasan iaitu AC biasa dan DC pantas. Dengan pengecas AC 6.6 kW, bateri boleh dicas penuh dalam masa sekitar 5 hingga 6 jam.
Menggunakan pengecas pantas DC, bateri e.MAS 5 mampu dicas dari 30% hingga 80% dalam masa lebih kurang 35 minit.
Proton turut menawarkan waranti bateri selama 8 tahun atau 180,000 km, mana-mana yang lebih dahulu. Waranti ini membolehkan pembeli lebih yakin terhadap ketahanan jangka panjang bateri litium yang digunakan.
Pasaran dan Sasaran Pembeli
Proton e.MAS 5 disasarkan kepada golongan muda, pengguna bandar, dan keluarga kecil yang ingin beralih kepada mobiliti elektrik.
Dengan harga di bawah RM80,000, ia menjadi pintu masuk ideal bagi rakyat Malaysia yang mahu mencuba kereta EV tanpa perlu berbelanja besar.
Model ini juga dijangka menarik minat pengguna e-hailing dan syarikat korporat yang mahu menukar kepada armada elektrik untuk mengurangkan kos bahan api.
Kelebihan Utama Proton e.MAS 5
Antara kelebihan utama model ini ialah:
- Harga paling rendah dalam kategori EV.
- Kos penyelenggaraan lebih murah berbanding kereta petrol.
- Rekaan moden dan teknologi lengkap untuk kelasnya.
- Waranti panjang dan jaminan selepas jualan oleh Proton.
- Menyokong visi Malaysia ke arah pengurangan karbon menjelang 2050.
Berminat Dengan Proton eMas 5
Proton e.MAS 5 membuktikan bahawa kereta elektrik tidak semestinya mahal atau eksklusif. Dengan harga serendah RM59,800, Proton berjaya membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki EV pertama mereka.
Ia bukan sekadar simbol kemajuan teknologi, tetapi juga bukti kemampuan industri automotif tempatan bersaing dengan jenama global.
Bagi mereka yang mencari kereta harian yang senyap, jimat tenaga dan mudah diselenggara, Proton e.MAS 5 adalah pilihan tepat.
Dengan reka bentuk menarik, ciri moden dan harga mampu milik, model ini dijangka menjadi titik perubahan besar dalam pasaran automotif Malaysia.












