Pada Mac 2024, ramai pengguna internet di Malaysia dikejutkan apabila paparan automatik penukar mata wang MYR (Ringgit Malaysia) tidak lagi muncul di hasil carian Google.
Jika sebelum ini, carian di Google seperti “USD to MYR” atau “1 USD ke MYR” akan memaparkan kalkulator tukaran secara terus di bahagian teratas hasil carian, membolehkan pengguna menyemak kadar tukaran secara cepat dan mudah.
Namun sekitar 22 Mac 2024, laporan daripada Kosmo mendedahkan bahawa Google telah menghentikan paparan penukar mata wang MYR dalam enjin carian mereka.
Keadaan ini menyebabkan pengguna perlu mengakses laman pihak ketiga seperti XE.com untuk mengetahui kadar atau rate currency terkini.
Ketiadaan fungsi ini menimbulkan pelbagai persoalan ketika. Ada yang mengaitkannya dengan kemungkinan isu pelesenan data, dasar penyedia maklumat tukaran, atau masalah teknikal dari pihak Google. Namun begitu, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Google mengenai punca sebenar.
Kini, 17 April 2025, pengguna di Malaysia mendapati fungsi tersebut telah kembali pulih seperti biasa. Carian “USD to MYR” kini kembali memaparkan kalkulator tukaran mata wang secara langsung, lengkap dengan kadar terkini, carta pergerakan nilai dan pilihan untuk tukar kepada mata wang lain.
Kembalinya fungsi ini sangat ditunggu-tunggu, terutamanya oleh peniaga, pelancong, pelabur dan sesiapa sahaja yang sering memantau nilai tukar ringgit berbanding mata wang asing.
Walaupun puncanya masih belum jelas, yang pasti – rakyat Malaysia kini boleh menarik nafas lega kerana penukar MYR Google telah kembali seperti sediakala.











