Malek Razak Dilantik Panglima Angkatan Tentera Ke-24

By Mein Amorim

Published On:

Follow Us
Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman

Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman yang sebelum ini memegang jawatan Panglima Medan Barat Tentera Darat kini dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) baharu, berkuat kuasa 1 Februari 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa pelantikan tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sekali gus menyaksikan Malek Razak dinaikkan pangkat ke Jeneral sebelum menggalas tanggungjawab sebagai PAT.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang diadakan pada 29 Januari lalu, sebelum mendapat perkenan rasmi Seri Paduka Baginda pada 30 Januari.

Biodata Malek Razak, Panglima Angkatan Tentera ke-24

Mohamed Khaled menjelaskan bahawa Malek Razak merupakan Panglima Angkatan Tentera ke-24 dan memiliki latar belakang akademik yang kukuh dalam bidang pertahanan serta keselamatan

Bermula di peringkat Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seterusnya ke Masters of Arts in Defence Studies daripada King’s College London. Kemudian menyambung ke peringkat Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada UKM.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malek Razak memulakan kerjaya ketenteraannya pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan secara rasmi sebagai Leftenan Muda pada 11 Disember 1987.

Dalam perjalanan kerjayanya, Malek Razak memulakan tugas sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan seterusnya berkhidmat di pelbagai unit serta formasi, merangkumi pelbagai peranan penting di peringkat pemerintahan dan staf.

Mohamed Khaled berkata, jawatan terakhir yang disandang oleh Malek Razak sebelum pelantikan terbaharu ini ialah sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat.

Sepanjang hampir empat dekad perkhidmatan, beliau telah menunjukkan tahap kecekapan, kemampuan serta kepimpinan yang tinggi, sekali gus membuktikan komitmen dan dedikasi dalam perkhidmatan ketenteraan.

Menurut Mohamed Khaled, Kementerian Pertahanan yakin pengalaman luas dan kredibiliti yang dimiliki oleh Malek Razak akan memperkukuh kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia dalam menghadapi cabaran keselamatan negara, di samping meningkatkan semula wibawa institusi pertahanan melalui kepimpinan yang berteraskan integriti, profesionalisme dan keyakinan rakyat.

Sumber : Bernama

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now