Aksi tumpuan saingan Kelayakan Piala Asia 2027 (AFC Asian Cup 2027) bakal menyajikan perlawanan menarik antara Malaysia vs Vietnam yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 10 Jun 2025, jam 9.00 malam bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan ini merupakan aksi kedua peringkat kumpulan (kumpulan F) buat kedua-dua pasukan yang kini bersaing sengit untuk merebut slot ke pusingan akhir kejohanan benua Asia itu.
Tonton Malaysia vs Vietnam Secara Langsung dan Percuma
Peminat bola sepak tempatan pastinya tidak mahu terlepas pertembungan ini. Untuk mereka yang tidak dapat hadir ke stadium, siaran langsung perlawanan Malaysia vs Vietnam ini boleh ditonton menerusi Astro Arena Bola saluran 803, serta di RTM TV Okey dan Sukan RTM.
Selain itu, live streaming turut tersedia di platform Sooka dan RTM Klik, dengan RTM Klik menawarkan penstriman secara percuma kepada semua pengguna. Jadi jangan terlepas untuk strim pada hari perlawanan.

Rekod Perlawanan di Bukit Jalil Berpihak kepada Malaysia
Statistik pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak 1991 menyaksikan 23 perlawanan telah berlangsung, namun menariknya, hanya dua kali sahaja mereka bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Daripada dua perlawanan tersebut, Malaysia menang sekali (tahun 2010) dan satu lagi berakhir dengan keputusan seri (tahun 2018). Statistik ini memberikan kelebihan psikologi kepada skuad Harimau Malaya apabila beraksi di gelanggang keramat mereka yang sering menjadi kubu kuat menyokong pasukan negara.
Barisan Pemain Warisan Tarikan Utama Harimau Malaya
Tumpuan kali ini tidak semata-mata kepada keputusan perlawanan sahaja, tetapi juga terhadap barisan pemain warisan terbaru yang kini memperkuatkan skuad kebangsaan bola sepak negara.
Antara yang mencuri perhatian ialah Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces yang telah disahkan menyertai skuad senior Harimau Malaya secara rasmi.
Kehadiran mereka menyuntik dimensi baharu kepada pasukan dari segi fizikal, taktikal serta pengalaman bermain di peringkat lebih tinggi. Kelima-lima pemain ini menyertai kumpulan pemain warisan yang sebelum ini telah didaftarkan pada Mac lalu iaitu Hector Hevel dan Gabriel Palmero.
Secara keseluruhan, kini skuad Harimau Malaya mempunyai tujuh pemain warisan baharu hasil daripada revolusi yang diterajui oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Jurulatih Peter Cklamovski yang kini berada dalam fasa penting pengurusan skuad pasti mahu menggunakan perlawanan ini untuk menguji keserasian barisan baharu serta meraih tiga mata penuh di laman sendiri.
Malaysia sudah tentu tidak boleh memandang rendah cabaran Vietnam yang sentiasa menjadi lawan tradisi dengan corak permainan tersusun dan agresif.
Namun, dengan kelebihan di laman sendiri, gabungan muka baharu dan pemain tempatan yang semakin matang, skuad negara diyakini mampu memberikan saingan sengit.
Ayuh Bersama Harimau Malaya
Suasana di Bukit Jalil dijangka meriah dengan ribuan penyokong yang akan hadir memberi sokongan.
Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia yang berada di rumah mahupun luar negara boleh terus menyokong secara maya menerusi siaran langsung dan live streaming Malaysia vs Vietnam.
Ayuh seluruh rakyat Malaysia, mari kita berdiri bersama Harimau Malaya dalam misi memburu kemenangan penting ke atas Vietnam. Sama ada di stadium atau di hadapan skrin, semangat anda adalah nadi perjuangan skuad negara!
Keputusan Perlawanan
FT : Malaysia (4) – (0) Vietnam
- J. Figueiredo 49′
- R. Holgado 59′
- L. Corbin-Ong 67′
- D. Cools 88′
Masa : 9.00 malam
Venue : Stadium Nasional Bukit Jalil
Tayangan TV : Arena Bola 803 dan TV Okey
Live Streaming : Sooka dan RTM Klik












