Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tampil dengan inisiatif khas sempena Ramadan dan Aidilfitri 2026 menerusi pengenalan Perkhidmatan Tren Khas Excursion Railway to See Malaysia (RTSM) Edisi Ramadan bagi laluan KL Sentral–Tumpat–KL Sentral, selain Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) yang merangkumi perjalanan ke Pantai Timur dan Utara.
Dalam satu kenyataan rasmi, KTMB memaklumkan penjualan tiket bagi perkhidmatan khas ini akan bermula pada 30 Januari 2026, Jumaat, jam 12 tengah hari esok.
Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai membuat perancangan awal perjalanan pulang ke kampung dengan lebih teratur dan selesa sepanjang Ramadan, di samping memudahkan persediaan menjelang sambutan Aidilfitri.
Menurut kenyataan tersebut, Tren Khas RTSM Edisi Ramadan akan beroperasi selama empat hari. Perjalanan bagi laluan KL Sentral ke Tumpat dijadualkan pada 20 Februari dan 6 Mac, manakala laluan Tumpat ke KL Sentral pula pada 22 Februari dan 8 Mac.
Daripada itu, sebanyak 1,584 tiket disediakan termasuk kemudahan koc tempat tidur bagi setiap perjalanan yang ditawarkan.
Bagi perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) untuk laluan Pantai Timur, tren akan bergerak dari KL Sentral ke Tumpat pada 18 Mac dan kembali dari Tumpat ke KL Sentral pada 22 Mac.
Perkhidmatan ini menawarkan sejumlah 792 tiket, termasuk pilihan koc tempat tidur.
KTMB turut memaklumkan bahawa setiap perjalanan menyediakan koc tempat tidur Superior yang dilengkapi 120 katil, selain koc tempat duduk Kelas Premier dan Kelas Superior.
Susun atur ini bertujuan memberi keselesaan serta fleksibiliti kepada penumpang mengikut keperluan perjalanan masing-masing.
KTMB Umumkan Harga Tambang RTSM Dan ELA
Dari segi tambang, harga tiket sehala ditawarkan serendah RM80 bagi Kelas Superior. Bagi penumpang yang memilih koc tempat tidur Kelas Superior, tambang ditetapkan pada RM90 untuk katil atas dan RM95 bagi katil bawah, manakala tambang Kelas Premier pula bermula pada RM95.
Tren Khas RTSM Edisi Ramadan dan ELA bagi laluan Pantai Timur ini akan singgah di 17 stesen utama sepanjang perjalanan.
Antara stesen terlibat ialah KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.
Sementara itu, perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri bagi laluan Utara melibatkan perjalanan KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral akan dilaksanakan menerusi empat perkhidmatan khas.
Sebanyak 1,200 tiket disediakan untuk koc tempat duduk Kelas Superior dengan kadar tambang RM70 bagi perjalanan sehala.
Perkhidmatan tren khas laluan Utara ini dijadualkan beroperasi pada 17 dan 22 Mac bagi perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar, manakala perjalanan sebaliknya akan berlangsung pada 18 dan 23 Mac.
Sepanjang laluan tersebut, tren akan berhenti di 12 stesen terpilih, termasuk KL Sentral, Sungai Buloh, Tanjung Malim, Kampar, Batu Gajah, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri, berkata penyediaan perkhidmatan tren khas sempena musim perayaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KTMB dalam menyokong keperluan mobiliti rakyat.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan pengangkutan rel dapat membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya, sekali gus menjadikan perjalanan pulang ke kampung lebih lancar, selamat dan efisien.
Cara Tempah Tiket
KTMB menyarankan orang ramai agar membuat perancangan perjalanan lebih awal. Pembelian tiket boleh dilakukan menerusi :
- Aplikasi KTMB Mobile (KITS)
- Mesin kios
- Kaunter tiket
- Laman web rasmi www.ktmb.com.my, atau
- Hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
Maklumat lanjut juga boleh diperoleh melalui saluran media rasmi KTMB.












