Jika anda sedang mencari karya susulan yang penuh debar selepas Bidaah, siri Walid hadir sebagai pilihan yang lebih gelap, berani dan sarat dengan elemen provokatif.
Drama thriller Malaysia terbitan Viu Original yang mengandungi 12 episod ini merupakan hasil gabungan kreatif duo terkenal, iaitu Erma Fatima selaku penulis dan Pali Yahya sebagai pengarah.
Melalui karya terbaharu ini, penonton dibawa menyelami dengan lebih mendalam dunia Jihad Ummah serta konflik rumit yang wujud di antara keimanan dan penipuan.

Drama Walid ini mula ditayangkan pada 26 Februari 2026 secara eksklusif di platform Viu. Ia membawa penonton kembali mengikuti perjalanan watak Walid, sambil memperluaskan penceritaan ke peringkat serantau menerusi kerjasama produksi antara Malaysia dan Indonesia.
Barisan pelakon utama turut menampilkan ikon Malaysia, Faizal Hussein, bersama bintang terkenal Indonesia, Olla Ramlan, yang menjadi tunjang kepada gabungan dua negara dalam drama ini.
Barisan Pelakon & Watak Lakonan
Walid menghimpunkan barisan pelakon hebat, sekali gus menyatukan bintang dari Malaysia dan Indonesia dalam satu penceritaan :
- Faizal Hussein sebagai Walid
- Aqasha sebagai Habiburrahman
- Dato’ A. Tamimi Siregar sebagai Ustaz Fateh
- Marisa Yasmin sebagai Ummi Hafizah
- Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul
- Olla Ramlan sebagai Raras Kartika
Sinopsis Drama Walid
Siri Walid meneruskan kesinambungan elemen spiritual dan konflik psikologi yang menjadikan Bidaah begitu popular. Namun kali ini, penceritaannya berkembang lebih besar apabila taruhannya bukan sekadar melibatkan individu, malah melangkaui sempadan negara hingga ke peringkat serantau.
Walid, yang sebelum ini dikenali sebagai pemimpin berpengaruh kepada kumpulan Jihad Ummah, akhirnya ditahan apabila pihak berkuasa bertindak terhadap ajaran songsangnya.
Ketika satu serangan ganas berlaku, dia berjaya meloloskan diri secara mengejut sebelum menghilangkan diri ke kawasan pergunungan. Di lokasi terpencil itu, Walid mula mengumpulkan semula para pengikut setianya secara senyap-senyap bagi membina kembali pengaruh yang pernah dimilikinya.
Dalam persembunyian, Walid menjalin kerjasama yang rapuh dengan Habiburrahman, seorang pendakwah yang terkenal dengan gaya ceramahnya yang lembut dan meyakinkan.
Di sebalik penampilan yang tenang, tersembunyi keinginan besar yang penuh muslihat. Kedua-duanya berkongsi cita-cita untuk membina empayar lebih besar atas nama agama.
Namun, di balik kerjasama yang kelihatan suci itu, hubungan mereka perlahan-lahan berubah menjadi persaingan perebutan kuasa, kesetiaan dan pengaruh.
Sementara itu di kota, bekas isteri Walid, Ummi Hafizah, bertekad untuk tidak membiarkan Jihad Ummah kembali terjerumus ke dalam kegelapan. Dengan niat untuk memulihkan komuniti tersebut dan mengembalikan ajaran sebenar, dia berusaha mengambil alih kepimpinan.

Namun dalam proses itu, Ummi Hafizah mula berdepan godaan yang sama seperti yang pernah menjerat Walid dahulu. Beliau keinginan untuk dihormati, kuasa yang semakin besar, serta perasaan dipuja sebagai penyelamat.
Pada masa yang sama, kepulangan Ustaz Fateh dari Kaherah membawa dimensi baharu kepada konflik ini. Sebagai bekas mentor Walid, beliau terkejut melihat perubahan yang berlaku kepada anak didiknya itu.
Dengan rasa tanggungjawab, Ustaz Fateh memulakan usaha terakhir untuk menyelamatkan Walid dan Ummi Hafizah sebelum mereka tenggelam dalam keegoan dan kesombongan.











