Pendaftaran murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan di bawah Kalendar Akademik 2027 akan dibuka secara dalam talian mulai 15 Februari hingga 31 Mac 2026.
Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa permohonan ini melibatkan kanak-kanak warganegara Malaysia yang berada dalam kohort umur enam tahun (5+) iaitu kelahiran antara 2 Januari hingga 31 Disember 2021, selain kanak-kanak tujuh tahun (6+) yang dilahirkan dari 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.
Semua permohonan perlu dibuat menerusi Sistem Bersepadu KPM atau MOEIS yang boleh diakses melalui portal https://idme.moe.gov.my.
Langkah ini sejajar dengan keputusan Kerajaan yang membenarkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) ke Tahun 1 mulai 2027 secara pilihan, tanpa mewajibkan sebarang ujian saringan.
BACA JUGA : Tiada Ujian Diagnostik Untuk Kemasukan Tahun 1
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga digalakkan untuk mendaftar akaun Sistem Pengurusan Identiti atau idMe terlebih dahulu, memastikan maklumat peribadi sentiasa dikemas kini, serta menghantar permohonan melalui MOEIS dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang masalah semasa proses pendaftaran.
Sebarang maklumat tambahan berkaitan pendaftaran boleh diperoleh melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah yang berhampiran.
Menurut KPM, pelaksanaan dasar ini bertujuan menggalakkan penyertaan awal kanak-kanak berusia enam tahun (5+) ke alam persekolahan sebagai sebahagian daripada pendekatan progresif Kerajaan MADANI, sekali gus menyokong perkembangan menyeluruh dan kebajikan kanak-kanak agar mereka tidak tercicir dalam arus pendidikan formal.
Sumber : KPM












