Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah menerima dan meluluskan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang difailkan oleh tujuh pemain kebangsaan, Harimau Malaya.
Pemain yang terlibat dalam permohonan tersebut ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
BACA JUGA : Biodata 7 Pemain Warisan Harimau Malaya
Dengan kelulusan itu, hukuman penggantungan selama setahun daripada semua aktiviti bola sepak yang sebelum ini dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas kesemua pemain berkenaan tidak dikuatkuasakan buat sementara waktu.
Keadaan ini membolehkan mereka terus menjalani kerjaya profesional masing-masing serta terlibat dalam sebarang urusan dan aktiviti berkaitan bola sepak sementara menunggu keputusan akhir rayuan yang sedang dipertimbangkan oleh CAS.
Terdahulu, reputasi FAM menjadi perhatian di peringkat antarabangsa susulan tindakan FIFA yang mengenakan hukuman denda dan penggantungan terhadap tujuh pemain tersebut atas dakwaan penggunaan dokumen kelahiran dan salasilah yang tidak sah bagi tujuan mewakili Malaysia.
Kesemua pemain berkenaan telah dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, yang berkuat kuasa bermula September tahun lalu.
Selain hukuman terhadap pemain, FAM turut dikenakan denda berjumlah CHF350,000, bersamaan kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain pula dikenakan denda sebanyak CHF2,000 atau sekitar RM10,000 seorang.
sumber : harian metro












