Mungkin masih ada yang keliru apa beza Jamak dan Qasar terutamanya ingin digunakan untuk waktu tertentu seperti pergi travel.
Musafir merupakan antara keadaan yang diberi keringanan (rukhsah) dalam ibadah solat. Dalam Islam, terdapat dua bentuk kelonggaran yang dibenarkan ketika musafir, iaitu solat jamak dan solat qasar.
Ramai dalam kalangan mereka yang beragama Islam atau orang muslim yang masih keliru antara kedua-duanya. Adakah ianya sama, adakah boleh dilakukan serentak, dan apakah syarat-syarat untuk melakukannya?
Memahami perbezaan ini sangat penting supaya tidak tersalah niat dan pelaksanaan ketika bermusafir, sama ada untuk urusan kerja, pelajaran, mahupun melancong.
Jom kita fahami satu per satu maksud dan perbezaan antara jamak dan qasar agar ibadah kita lebih teratur dan menepati tuntutan syariat.
Maksud Solat Jamak
Solat jamak bermaksud menghimpunkan dua solat fardhu dalam satu waktu. Ini bermaksud seseorang itu dibenarkan untuk menunaikan dua waktu solat dalam satu masa sama ada pada awal atau akhir waktu.
Contohnya, solat Zohor dan Asar dilakukan pada waktu Zohor (jamak taqdim), atau dilakukan pada waktu Asar (jamak ta’khir). Begitu juga solat Maghrib dan Isyak boleh dijamak dalam satu waktu.
Namun, solat Subuh tidak termasuk dalam solat yang boleh dijamak. Solat jamak ini dibenarkan ketika seseorang itu bermusafir, menghadapi hujan lebat, atau dalam situasi darurat tertentu.
Maksud Solat Qasar
Solat qasar pula bermaksud memendekkan bilangan rakaat solat fardhu. Hanya solat empat rakaat sahaja yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat, iaitu solat Zohor, Asar, dan Isyak. Solat Maghrib (tiga rakaat) dan Subuh (dua rakaat) tidak boleh diqasarkan.
Solat qasar hanya dibenarkan kepada mereka yang bermusafir melebihi dua marhalah, iaitu lebih kurang 89 km dari tempat asal, dan tidak berniat menetap lebih daripada tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan keluar). – Rujukan Mufti Wilayah
Apa Beza Jamak dan Qasar?
Jamak adalah menghimpunkan dua solat dalam satu waktu, manakala qasar adalah memendekkan bilangan rakaat solat. Jamak boleh dilakukan dalam dua bentuk iaitu taqdim dan ta’khir. Manakala qasar hanya mengurangkan rakaat, tanpa mengubah waktu solat.
Seseorang musafir boleh melakukan jamak sahaja, qasar sahaja, atau kedua-duanya sekali – contohnya solat Zohor dan Asar dijamak taqdim dan setiap satunya dilakukan dua rakaat (qasar).
Kedua-duanya adalah rukhsah yang sangat memudahkan, khususnya bagi mereka yang bermusafir. Penting untuk tahu bila boleh guna dan bagaimana cara pelaksanaannya supaya solat tetap sah dan diterima.












